Berulang alik ke sekolah rendah dengan membonceng basikal tua yang dibawa oleh abah memang menyeronokkan. Tambahan pula diusia 7 tahun aku tidak dibenarkan menunggang basikal chopperku sejauh itu.
Memang menjadi kelaziman, aku akan dihantar ke sekolah oleh abah memandangkan sekolah terletak di jalan yang akan dilaluinya untuk ke tempat kerja. Sewaktu pulang dari sekolah, sekali lagi aku akan membonceng basikal tua kerana abah akan pulang ke rumah untuk makan tengah hari.
Seperti hari-hari biasa, dalam perjalanan pulang aku melihat ramai rakan-rakan berjalan kaki dan menaiki basikal. Jarang –jarang sekali barulah nampak kelibat motorsikal mahupun motokar, suatu pemandangan yang biasa bagi kehidupan di kampung.

