Tuesday, September 07, 2010

Cita-Cita


Aku tersenyum bila mana anak perempuanku, Nur Hanisah Radhiah memberitahu bahawa cita-citanya untuk menjadi angkasawan, tukang jahit dan jurulatih renang. Petah benar kata-katanya meskipun umur baru 5 tahun.

Sementara adiknya, Muhammad Razin Hakim berusia hampir 4 tahun memilih untuk menjadi angkasawan, pemain bola sepak, jurulatih renang dan Taiping. Taiping yang dimaksudkan adalah bekerja di zoo seperti cerita ‘Zoo’ lakonan Mazlan Pet Pet.

Teringat kembali nostalgia di sekolah rendah. Sudah menjadi kebiasan para guru kelas akan meminta setiap muridnya untuk menulis 3 cita-cita/ kerjaya yang akan direkodkan ke dalam buku rekod pelajar.

Cita-cita/ kerjaya yang biasa dipilih bagi sahabat – sahabatku yang terdiri dari budak-budak kampung adalah Doktor, Polis dan Tentera. Sementara bagi sahabat-sahabatku dari kalangan pelajar perempuan memilih untuk menjadi Guru, Jururawat dan Polis.

Berbeza pula dengan sahabatku bernama Azmi. Sungguh teruja sekali ketika dia menulis 3 cita-cita/ kerjaya pilihannya. Beliau bukan saja merahsiakannya dari kami malahan bangga mengatakan bahawa tiada siapapun yang memilih cita-cita/ kerjaya yang sama sepertinya.

Keadaannya itu menimbulkan tanda tanya seluruh kelas Darjah 2. Dalam usia 8 tahun, sekiranya ada sesiapa yang memilih cita-cita/ kerjaya pilihan selain daripada Doktor, Polis, Guru, Jururawat dan Tentera akan menimbulkan suatu kekaguman tambahan lagi jika ia tidak sama dengan orang lain..

Setelah semua kertas yang tercatat cita-cita / kerjaya pilihan masing-masing diserahkan kepada guru kelas, masing-masing menunggu untuk guru kelas membacanya dan menulis dalam buku rekod. Seperti biasa cita-cita yang hampir sama cuma kombinasinya sahaja yang berlainan, sehinggalah guru kelas mengambil kertas si Azmi tadi.

Guru kelas memanggil Azmi ke depan kelas dan memberitahu kepada kami semua yang Azmi akan mendapat hadiah disebabkan pemilihan cita-cita/ kerjaya impiannya. Sekali lagi seluruh kelas berada dalam keadaan tanda tanya dan kekaguman.

Maka Azmi diminta menghulurkan tangan untuk menerima hadiahnya. ZAS!..ZAS!..ZAS!.. Azmi dikurniakan 3 rotan. Bertambah gempar seisi kelas dan masing-masing begitu ingin tahu cita-cita / kerjaya si Azmi yang begitu hebat sehingga melayakkan beliau dihukum dengan 3 sebatan.

Sahabatku yang duduk disebelah Azmi sempat mengintai dan membaca cita-cita Si Azmi kepada kami... cita-cita / kerjaya pilihan Azmi adalah 1. Terminator... 2. Predator dan 3. Rambo... Bertapa besarnya pengaruh televisyen kepada kanak- kanak...

2 comments:

yusri said...

hang blh ingat lg cerita nih nuh... lepas baca cerita hang br aku teringat... alahai azmi... lepas sekolah menengah tak jumpa dah dia... family dia tak dok sini dah kot...

Al-Jawi said...

sama la.. baru ni aku ada jumpa danial... dia pun kata xpernah jumpa hg langsung lepas sknt...

Related Posts with Thumbnails