Berulang alik ke sekolah rendah dengan membonceng basikal tua yang dibawa oleh abah memang menyeronokkan. Tambahan pula diusia 7 tahun aku tidak dibenarkan menunggang basikal chopperku sejauh itu.
Memang menjadi kelaziman, aku akan dihantar ke sekolah oleh abah memandangkan sekolah terletak di jalan yang akan dilaluinya untuk ke tempat kerja. Sewaktu pulang dari sekolah, sekali lagi aku akan membonceng basikal tua kerana abah akan pulang ke rumah untuk makan tengah hari.
Seperti hari-hari biasa, dalam perjalanan pulang aku melihat ramai rakan-rakan berjalan kaki dan menaiki basikal. Jarang –jarang sekali barulah nampak kelibat motorsikal mahupun motokar, suatu pemandangan yang biasa bagi kehidupan di kampung.
Abah mengayuh basikal tuanya perlahan-lahan tetapi disebabkan roda basikal tua yang lebih besar berbanding basikal mini dan basikal lain, kami berjaya memintas kesemua basikal yang ditunggang oleh pelajar-pelajar sekolah. Di antara basikal – basikal yang dipintas termasuklah sebuah basikal BMX milik Nuar Jepun.
Nuar Jepun memang terkenal di sekolahku kerana hanya dia seorang yang menaiki basikal BMX ke sekolah. Namanya ditambah dengan perkataan ‘Jepun’ kerana mukanya seperti orang- orang Jepun. Bagi kami yang terdiri dari anak-anak nelayan, pekerja kilang dan buruh untuk memiliki basikal BMX seakan-akan mustahil malahan ramai di antara pelajar –pelajar sekolah terpaksa berjalan kaki. Nuar Jepun ini tua 2 tahun dariku dan tinggal di kampung bersebelahan.
Tercabar dengan tindakan abah memintas basikalnya, Nuar Jepun bersungguh-sungguh untuk merampas kembali ‘tempat pertama’. Walau bagaimanapun, usahanya tidak berhasil kerana perbezaan bentuk basikal dan kudrat pelajar darjah 3 berbanding kudrat abah. Nuar Jepun menunggang basikalnya seperti pelumba basikal Le Tour de Langkawi. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan mencari peluang untuk memintas basikal tua kami.
Kasihan melihat kesungguhan Nuar Jepun, abah memperlahankan basikal tua memberi laluan kepada Nuar Jepun. Tambahan pula kami telah sampai di simpang perkampungan Nuar Jepun. Nuar Jepun mengayuh basikal BMXnya sekuat hati memintas basikal tua dan apabila berjaya terus membelok ke simpang kampungnya . Nuar Jepun mengangkat tinggi kedua-dua tangan bagi meraikan kemenangan dalam ‘perlumbaan’ ini. Malangnya, tindakan Nuar Jepun ini membuatkan basikal BMX terbabas ke parit tanah bersebelahan jalan masuk ke kampungnya.
Nuar Jepun tercampak bersama basikal BMX ke dalam parit tanah dan seluruh tubuhnya diselaputi selut lumpur. Mujur ada beberapa orang kampung yang membantu menarik Nuar Jepun keluar dari parit tanah. Dalam keadaan kelam kabut, badan dipenuhi selut lumpur, air mata yang mengalir mungkin disebabkan trauma kemalangan dan nafas yang tercungkap-cungkap, Nuar Jepun dengan bersusah payah berbicara dengan orang-orang kampung yang menolongnya, “Basikal BMX macam mana?”
No comments:
Post a Comment