Showing posts with label Nyata Di Sini. Show all posts
Showing posts with label Nyata Di Sini. Show all posts

Friday, March 04, 2011

Perarakan Maulidur Rasul 1432H

Tarikh 23 Rabiul Awal 1432 H bersamaan 26 Mac 2011 menjadi sejarah apabila buat julung -julung kalinya Surau Al Mustaqim Taman Jawi Indah menganjurkan Perarakan Maulidur Rasul. Perarakan yang dibuat di dalam Taman Jawi Indah mendapat sambutan yang amat mengalakkan dari penduduk.

Perarakan ini disertai juga lebih 100 kuntum - kuntum iman yang terdiri daripada anak-anak penduduk Taman Jawi Indah. Perarakan yang diserta juga golongan bapa dan kaum ibu menjadikan jumlah peserta perarakan mencecah 250 orang. 

Sunday, February 20, 2011

Batu Feringghi


Apabila teringin bersantai di tepi pantai, Batu Feringghi merupakan destinasi pilihan kami sekeluarga. Mungkin disebabkan jaraknya yang dekat dan keindahan pantainya membuatkan kami tidak jemu – jemu menghabiskan masa terluang di pantai batu Feringghi.


Untuk sekalian kalinya, aku dan Isteri Tercinta membawa Hanisah dan Hakim untuk mandi manda selain bermain pasir di sana. Sebelum terus ke pantai, aku mengalas perut dengan sedikit juadah di gerai makanan berdekatan.


Isteri Tercinta seperti selalunya, menikmati Laksa Penang dan Hanisah serta Hakim hanya meminta air minuman.


“Tak sabaq nak mandi ayaq laut”


Itulah jawapan mereka berdua apabila ditanya menu makanan yang hendak dipesan. Selesai menikmati juadah, kami turun ke pantai, bermain pasir dan mandi laut. Selepas merah biji mata dan letih melawan ombak kami berangkat pulang.


“Esok kita mai sini lagi ya Abah” kata Hakim.

“Kita dah mai hari ni. Lain-lain kali kita mai lagi” jawapku ringkas.

Friday, February 18, 2011

TMNT

Ben, Conan, Gwen dan Kitty
Sewaktu aku dibangku sekolah rendah, siri kartun Teenage Mutant Ninja Turtles (TMNT) menjadi satu fenomena dan kegilaan ramai. Watak - watak Leo, Mikey, Doney dan Ralp yang digunakan diambil sempena nama - nama pelukis / artis zaman Renaissance. Siri kartun yang penuh dengan aksi ini turut mempromosikan 3 perkara yang masih ku ingat iaitu pizza, skateboard dan chatchprase 'Cowabangga'.

Bagi memenuhi permintaan Hanisah dan Hakim. aku dan isteri tercinta bersetuju untuk membeli 4 ekor kura-kura, 22 ekor ikan, sebuah akuarium dan filter pump. Pemilihan kura-kura dan ikan ini lebih praktikal berbanding permintaan mereka berdua yang lain seperti kucing, anjing (masalah juga nak terang hal ini kepada Hanisah dan Hakim), kuda padi, ikan jerung dan sebagainya.

Hanisah memilih nama Kitty dan Gwen sementara Hakim pula memberi nama Ben dan Conan. Nama Ben dan Gwen diambil mereka dari siri kartun 'Ben 10' dan Conan dari 'Detektif Conan' tetapi tiada pula kutahu asal usul nama Kitty. Mungkin dari filem animasi Pixar Monster Inc. Apapun mereka berdua cukup gembira dengan kehadiran Ben. Gwen, Conan dan Kitty.


Monday, February 07, 2011

Menara Alor Setar

Alang – alang sudah berasa di Sungai Petani menghadiri majlis perkahwinan adik seorang sahabat, isteri tercinta mencadangkan kami meneruskan perjalanan ke Alor Setar. Destinasi kami Menara Alor Setar setinggi 165.5 meter yang merupakan menara telekomunikasi yang kedua tertinggi di Malaysia dan ke 20 tertinggi di dunia.

Setelah membayar tiket RM 6 untuk seorang dewasa dan RM 3 untuk kanak – kanak ( berumur 5 -12 tahun), kami menaiki lif ke Outdoor Public Observation Deck pada ketinggian 88 meter.



















Mengunakan binocular kami menikmati pemandangan sekitar bandar Alor Setar. Padahal tanpanya pun kami dapat menikmati pemandangan pada ketinggian 289 kaki.
Pemandangan Istana Kuning dari ketinggian 289 kaki 
Setelah menunaikan solat Maghrib dan menikmati makan malam di Radix Fried Chicken berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana, kami bertolak pulang ke Jawi.



















Tuesday, February 01, 2011

SRS KRT Tahun 2011


Selama sebulan, kami diberikan cuti rehat dari menjalankan tugas - tugas rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT. Petang semalam aku menerima roster rondaan bulan Februari yang menandakan bermulanya tugas - tugas peronda SRS.

Kumpulan aku, Kumpulan A diberikan amanah untuk memulakan tugas rondaan SRS pada tahun 2011. Pengera jam pada telefon bimbit disetkan sekitar pukul 1.50 pagi dan apabila ia berbunyi aku sendiri tertanya-tanya dan kehairanan melihat telefon bimbit tersebut .

"Mengapa aku setkan telefon ini pada jam 1.50 pagi?". Akalku mula mencari jawapan setelah seminit dua berfikir barulah aku mendapatkan jawapannya. Aku bergegas bersiap memandangkan tugas SRS bermula 2.00 pagi sehinggalah pukul 4.30 pagi.

Apabila sampai ditempat berkumpul (Surau Al - Mustaqim), aku melihat kelibat ahli kumpulan A sudahpun menunggu. Alhamdullilah semua berjalan lancar tanpa ada insiden yang tidak diingini berlaku.

Saturday, January 22, 2011

Shut Up Not Shut Up

4 Januari 2011 adalah hari yang amat bersejarah bagiku dan isteri tercinta memandangkan Hanisah dan Hakim melangkah masuk ke Taska Janatul Annuar. Sememangnya masa amat pantas berlalu. Rasa macam baru semalam aku melaungkan azan dan iqamah di telinga mereka berdua.

Kami berdua mengambil cuti untuk menghantar Hanisah dan Hakim ke taska. Pada hari hari kemudian aku membelek – belek gambar Hanisah dan Hakim dan akur kepada kepantasan waktu yang berlalu. Bak kata Faizal Ismail, diam tak diam Hanisah dan Hakim telah melangkah ke alam persekolahan.
Pepatah Melayu – Masa Itu Emas

Pepatah Arab – Masa Ibarat Pedang, jika kita tidak memanafaatkannya, masa pasti memotong kita.

Sunday, December 19, 2010

Rombongan Mak Jah Dari Sg Acheh Ke Batu Kurau

Bagai Pinang Dibelah Dua : Aishah dan Rizal Hafiz 
Hari ini hari yang bersejarah. Kalau selama ini, Mak Jah dikunjungi orang yang berhajat menjadi sebahagian keluarganya tetapi kali ini Mak Jah akan ke Batu Kurau bagi menyampaikan hajat satu-satu anak lelakinya.

Rombongan yang disertai 4 buah kereta dan seramai 17 orang sampai di Batu Kurau pada waktu tengah hari. Sambutan yang kami terima amat meriah dan luar biasa. Inilah kali pertama aku menyertai rombongan meminang dan bertunang. Sememangnya orang Melayu kaya dengan adat dan tradisi.

Sarung Cincin Belah Rotan
Tuan rumah menanyakan hajat rombongan Mak Jah ke rumahnya. Setelah hajat disampaikan, tuan rumah memberikan syarat – syarat. Syarat – syarat seperti hantaran sebanyak RM 6500 dan Mas Kahwin sebanyak RM 1000 serta tempoh ikatan selama 1 tahun.

Selesai sudah kedua-dua pihak memberi persetujuan maka Mak Jah menyarungkan cincin belah rotan kepada bakal menantunya. Majlis Tahlil dilangsungkan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Ilahi atas keizinanNya dan redhaNya.

Kami kemudiannya dihidangkan makan tengahari yang lazat dan menyelerakan. Hidangan makanan kampung seperti kerabu pucuk paku, ikan masin, ayam goreng, pajeri terung, gulai nangka, ulam-ulaman, sambal belacan, pulut kuning, gulai daging dan pencuci mulut sememangnya seperti orang mengantuk disorong bantal.

Hanisah dan Hakim bergambar dengan Mak Ngah Chah
Kepada Abang Tan dan Kak Chah diucapkan Selamat Bertunang serta semoga perancangan yang dilakukan menjadi kenyataan serta mendapat keizinan Allah SWT.

Walaubagaimanapun dalam perjalanan pulang, aku dan Isteri Tercinta mengalami kesukaran dalam memberikan penjelasan kepada Hanisah perbezaan definasi ‘Pertunangan’ dan ‘Perkahwinan’. Kerana pada pendapatnya Pak Ngah Tan telah melangsungkan majlis perkahwinan dengan Mak Ngah Chah.

Tuesday, December 14, 2010

Lost World Of Tambun

Pagi - pagi lagi kami telah bertolak dari Jawi ke Ipoh. Destinasi kami adalah Lost World of Tambun di Ipoh , Perak Darul Riduan. Walaupun hujan lebat, perjalanan diteruskan juga untuk memenuhi janji yang dibuat kepada Hanisah dan Hakim.

Semalaman aku dan isteri tercinta melayari internet untuk mendapat gambaran tentang Lost World of Tambun. Setelah berpuas hati, kami bersetuju untuk membawa Hanisah dan Hakim ke sana seawal pagi esok. Tambahan pula esok merupakan cuti umum di seluruh negara.

Kami sampai seawal jam 10.00 pagi dan taman tema tersebut baru dibuka. Kami menghabiskan masa di sana sehingga pukul 5.00 petang. Kemudahan seperti surau, gerai - gerai makanan dan pelbagai lagi memudahkan lagi aktiviti keluarga di Lost World Of Tambun.

Sunday, December 05, 2010

Al Fatihah buat Wan Hassan


Lenaku tersentak apabila Hanisah mengejutkan aku untuk meminjam telefon bimbit. Katanya

‘Abah!!! Wan Hassan dah meninggal. Ibu nak pinjam telefon’.

Aku masih dalam keadaan mamai akibat baru bangun dari tidur terus mencari – cari telefon bimbit yang berada dalam beg laptop.

‘Betul ke Hanisah?’

Soalku meminta kepastian. Pertanyaanku tidak dijawapnya. Setelah tangan tersentuh telefon bimbit aku menghulurkan kepada Hanisah, lalu dia membawanya kepada Isteri Tercinta.

Aku terdengar perbualan antara Isteri Tercinta yang berada di dapur dengan anak perempuan Wan Hassan. Serentak dengan itu, terdengar tangisan Hanisah yang kembali ke arahku.

‘Wan Hassan dah meninggal. Kakak sayang Wan Hasan’

Lantas Hanisah duduk di atas sofa sambil menangis teresak-esak. Aku hanya mampu mengurut-gurut kaki anak sulongku ini. Walaupun baru berusia 5 tahun tetapi dia telah memahami hakikat kematian. Setelah hampir 10 minit barulah tangisannya mulai reda.

Tiada kata – kata yang keluar dari mulutku untuk memujuknya. Mungkin disebabkan aku tidak menyangka Wan Hassan akan meninggalkan kami selama – lamanya.

Wan Hassan merupakan suami kepada pengasuh Hanisah dan Hakim. Allahyarham telah dianggap sebagai datuk oleh mereka berdua. Mereka berdua menjaga Hanisah dan hakim sejak mereka berdua berumur 2 bulan. Tetapi Hanisah lebih rapat kerana mereka menjaganya lebih lama hampir 5 tahun. Selepas pencen, Allahyarham diserang serangan angin ahmar yang menyebabkan badannya lumpuh. 3 hari lepas, Allahyarham telah terjatuh di bilik mandi menyebabkan beliau terpaksa dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya.

Sekali lagi air mata Hanisah berlinangan apabila melihat Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kubang Semang. Sekali lagi aku hanya mampu memegang tangannya. Lidahku kelu tidak dapat mengeluarkan perkataan yang boleh memujuknya. Selesai majlis pengebumian, Isteri Tercinta menanyakan sebab musabah Hanisah menangis.

‘Kakak sedih. Kakak ada 3 Wan tetapi la ni dah tinggai 2’

Berehat di tangga Masjid Kubang Semang

Wednesday, December 01, 2010

Telatah Anak Anak 4

Buah Lai, Strawberi & Bertih Jagung

Dalam perjalanan ke Tesco Alma Bukit Mertajam, Hanisah menikmati buah lai yang diperolehi ketika menghadiri majlis kenduri kahwin seorang sahabat. Isteri tercinta meminta untuk berkongsi buah lai tersebut.

Hanisah: Sedap ibu. Ibu kalau nak makan kena pejam mata baru sedap. (sambil menghulurkan buah lai kepada isteri tercinta)

Isteri Tercinta: ooo!!! Kena pejam mata ka baru boleh makan?

Hanisah : Betui bu. Kakak makan tadi sambil pejam mata. Mula-mula rasa macam strawberi lepas tu rasa macam bertih jagung (bersungguh-sungguh Hanisah menyakinkan ibunya).


Awek?

Isteri tercinta sedang menunggu giliran untuk membeli makan malam kepada kami berempat. Aku menunggu di meja sambil mengawasi Hanisah dan Hakim. Tiba-tiba Hakim bangun untuk pergi ke isteri tercinta.

Aku: Hakim nak pi mana? Duduk situ jangan pi mana-mana.

Hakim: Hakim nak pi kat ibu.

Aku: Tak payah. Ibu dok jauh sangat. Orang pulak ramai. Nanti hilang susah.

Hakim: Nanti orang culik ka? Pasai apa?

Aku: Pasai Hakim hansem. (aku ketawa)

Hakim: ooo yang nak culik Hakim tu awek ka?


Ibu Jari vs Jari Abah

Sewaktu Hanisah berusia dalam lingkungan 3 tahun, dia mula mengetahui nama – nama jari.

Hanisah: Kelingking, Manis, Hantu, Telunjuk dan Jari Abah.

Isteri tercinta: Bukan jari abah la. Nama jari ni Ibu Jari. (sambil menunjukkan ibu jarinya)

Hanisah: Ibu kurus. Ini Jari Abah. Sebab jari ni pendek dan gemuk macam abah.

Monday, November 29, 2010

Rapunzel 3D

Sudah seminggu cuti sekolah bermula dan Hanisah bersuara meminta percutian keluarga. Katanya ‘Hendak tidur di hotel macam percutian yang lepas’. Percutian yang dimaksudkan adalah percutian ke Melaka dan Negeri Sembilan pada bulan 3 yang lalu.

Bagi memujuk kedua –dua hati Hanisah dan Hakim, aku dan isteri tercinta membawa mereka menonton filem animasi komputer ‘Rapunzel 3D’ di Sunway Carnival Seberang Jaya. Mereka begitu terhibur melihat filem tersebut. Terubat juga hati mereka berdua. Tetapi minda diri ini dan isteri tercinta masih tercari cari tempat untuk percutian keluarga.

Ke Melaka sudah, ke Negeri Sembilan pun sudah. Aquaria KLCC pun sudah disinggahi. Teluk Batik, Lumut dan Pangkor destinasi percutian keluarga kami tahun 2008. Ke Bukit Merah pun sudah. Ke mana tempat percutian yang sesuai untuk keluarga? Destinasi pelancongan manakah yang menyediakan pelbagai aktiviti untuk mereka berdua?

Buntu juga akal ini memikirkannya. Tambahan pula kerja-kerja di pejabat masih banyak yang belum selesai. Kerja-kerja penganjuran baru bermula. Terasa masa begitu cepat berlalu akibat kesibukkan. Tetapi apabila memikirkan wajah-wajah penuh harapan Hanisah, Hakim dan isteri tercinta, Insya Allah percutian keluarga akan dilaksanakan. Destinasinya belum pasti tetapi kalau sesiapa ada cadangan dipersilakan.




Sunday, November 28, 2010

Tugasan Kedua


Alhamdullilah... Syukur kepada Allah SWT kerana tugasan kedua berjaya dilaksanakan. Walaupun masih terdapat banyak kekurangan dalam tugasan ini tetapi diharap ia dapat memberi sedikit gambaran program yang bakal dianjurkan pada pertengahan tahun hadapan.

Semuanya tidak akan berlaku tanpa keizinanNya dan bantuan para sahabat. Kepada semua sahabat yang membantu, tiada imbuhan kewangan yang dapat aku berikan dan tiada pengiktirafan dari manusia dapat dianugerahkan selain doa kepada Yang Maha Kuasa agar bakti jasa kalian dibalasiNya.

Apa yang menariknya, seorang sahabat memohon maaf kerana tidak dapat membantu padahal banyak jasa dan bantuan yang telah diberikannya. Mustahil tugasan kedua ini dapat dilaksanakan tanpa bantuan dari sahabat tadi. Semoga Allah SWT melapangkan dadanya, memfokuskan mindanya dan memudahkan urusan pengajiannya di IPTA.

Berbeza dengan amanah ini dengan amanah yang lain pernah kuterima. Amanah ini hanya bagi tempoh masa 8 bulan tetapi perancangan dan perlaksanaannya seolah-olah memerlukan masa 2 tahun.

Kepada para sahabat seangkatan seperjuangan, amanah yang kita terima ini sememangnya tidak mudah dan penuh jalan-jalan berliku. Pelbagai halangan, tohmahan dan cabaran perlu kita tempuhi bersama. Dengan masa dan kewangan yang terhad menjadikan amanah ini semakin sukar. Tetapi sekiranya kita berjaya melaksanakan amanah ini, ia akan menjadi inspirasi kepada semua.

Jika kita berjaya melaksanakannya dengan berjaya, pasti ia akan menjadi kenangan terbaik kepada kita semua yang pasti tidak dilupakan hingga 20 tahun akan datang malahan hingga hayat dikandung badan.

Inilah masa dan saatnya kita membuktikan keupayaan diri kita masing-masing. Masa untuk menggunakan kualiti terbaik dalam diri dan bersatu menjalankan amanah yang diberikan. Inilah masanya membezakan seorang pejuang dari pemberi alasan.

Pejuang akan terus mara walau apapun halangan yang terpaksa ditempuhinya. Manakala seorang pemberi alasan akan menggunakan seribu satu alasan untuk mengundur diri dan menahan dirinya daripada berusaha memberi yang terbaik.

Memetik falsafah Sun Tzu’s Art of War sebagai panduan:

It does not take much strength to lift a hair,

It does not take sharp eyes to see the sun and moon,

It does not take sharp ears to hear a thunderclap

Tuesday, November 23, 2010

Majlis Anugerah Cemerlang 2010 Tadika Jannatul An Nuar

Entah sapa la punya baju ni..
Aku bertolak lewat sedikit ke Pulau Pinang memandangkan Jambatan Pulau Pinang ditutup dari pukul 1.00 pagi hingga 10 pagi sempena Penang Bridge International Marathon 2010. Perjalanan ke Masjid Negeri untuk menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang 2010 Tadika Jannatul An Nuar terasa begitu lambat sekali. Mungkin kerana aku tidak sabar melihat Nur Hanisah Radhiah ke pentas untuk mengambil hadiah bagi pelajaran Sains dan Bahasa Melayu.

Tak sabar menunggu giliran ke pentas

Tunjuk Perasaan sebab dilarang menggunakan telefon bimbit (untuk main games)
Ramai ibu bapa yang hadir membawa anak-anak masing – masing. Ada yang ingin melihat anak menerima hadiah dan sijil serta tidak kurang ibu bapa yang datang untuk menyaksikan persembahan anak-anak tersayang.Kami tiba di Masjid Negeri sekitar pukul 1.00 petang. Sesudah solat zohor, aku, isteri tercinta, Hanisah dan Hakim melangkah kaki ke Dewan Syarahan yang berdekatan. Cantik sekali Dewan Syarahan yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden.
Hadiah untuk subjek Bahasa Melayu dan Sains
Kami semua terhibur melihat persembahan dan telatah anak – anak. Majlis tamat sekitar pukul 4 petang dan sesudah solat Asar kami bertolak pulang. Aku memilih untuk keluar dari Pulau Pinang dengan menaiki Feri Pulau Rawa.

Barisan Pemimpin Masa Hadapan
Sewaktu perjalanan pulang tergiang-giang nasyid yang didendangkan oleh pelajar-pelajar Taska Tahun 6. Nasyidnya berbunyi:

Aduh Sayang Sayang Orang Cerdik Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Muhammad Cerdik Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Cantik Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Yusof Cantik Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Kaya Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Sulaiman Kaya Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Tua Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Adam Tua Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Sakit Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Ayub Sakit Pun Sembahyang (2x)


Related Posts with Thumbnails