Tuesday, November 23, 2010

Majlis Anugerah Cemerlang 2010 Tadika Jannatul An Nuar

Entah sapa la punya baju ni..
Aku bertolak lewat sedikit ke Pulau Pinang memandangkan Jambatan Pulau Pinang ditutup dari pukul 1.00 pagi hingga 10 pagi sempena Penang Bridge International Marathon 2010. Perjalanan ke Masjid Negeri untuk menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang 2010 Tadika Jannatul An Nuar terasa begitu lambat sekali. Mungkin kerana aku tidak sabar melihat Nur Hanisah Radhiah ke pentas untuk mengambil hadiah bagi pelajaran Sains dan Bahasa Melayu.

Tak sabar menunggu giliran ke pentas

Tunjuk Perasaan sebab dilarang menggunakan telefon bimbit (untuk main games)
Ramai ibu bapa yang hadir membawa anak-anak masing – masing. Ada yang ingin melihat anak menerima hadiah dan sijil serta tidak kurang ibu bapa yang datang untuk menyaksikan persembahan anak-anak tersayang.Kami tiba di Masjid Negeri sekitar pukul 1.00 petang. Sesudah solat zohor, aku, isteri tercinta, Hanisah dan Hakim melangkah kaki ke Dewan Syarahan yang berdekatan. Cantik sekali Dewan Syarahan yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden.
Hadiah untuk subjek Bahasa Melayu dan Sains
Kami semua terhibur melihat persembahan dan telatah anak – anak. Majlis tamat sekitar pukul 4 petang dan sesudah solat Asar kami bertolak pulang. Aku memilih untuk keluar dari Pulau Pinang dengan menaiki Feri Pulau Rawa.

Barisan Pemimpin Masa Hadapan
Sewaktu perjalanan pulang tergiang-giang nasyid yang didendangkan oleh pelajar-pelajar Taska Tahun 6. Nasyidnya berbunyi:

Aduh Sayang Sayang Orang Cerdik Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Muhammad Cerdik Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Cantik Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Yusof Cantik Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Kaya Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Sulaiman Kaya Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Tua Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Adam Tua Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Sakit Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Ayub Sakit Pun Sembahyang (2x)


Monday, November 22, 2010

Qurban 3

Tuan Khatib menyebut nama manusia ketiga yang begitu signifikan peranan dan tanggungjawab kepada manusia umum. Kalau nama Abdul Rahman bin Auf RA disebut sebagai mewakili golongan orang kaya, berharta, derwawan, peniaga dan majikan. Sementara nama Bilal bin Rabah RA mewakili golongan orang biasa, pekerja dan rakyat umum tetapi nama manusia ketiga ini amat istimewa kerana beliau bukanlah sahabat nabi malahan tidak hidup sezaman dengan nabi besar kita Nabi Muhammad SAW.

Sultan Salahuddin al Ayyubi disebut namanya bagi mewakili golongan pemimpin yang cintakan Allah SWT. Diwaktu mempertahankan negara dan dunia umat Islam, beliau sanggup meninggalkan istana untuk berada dan menginap di perkhemahan tentera-tentera Islam tanpa memperdulikan ancaman tentera musuh yang berdekatan. Malahan beliau turut membawa seisi keluarganya ke perkhemahan tentera Islam sebagai lambang kesatuan dan sokongan mereka kepada perjuangan membela agama Islam. Seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan agama, negara dan rakyatnya melebihi kepentingan diri dan kaum keluarganya.

Berbeza dengan pemimpin – pemimpin di zaman ini dan mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di Timur Tengah suatu ketika dahulu. Bagaimana seorang pemimpin mempertahankan negaranya dalam persembunyian. Bersembunyi di dalam bunker (kubu pertahanan) sewaktu negaranya diserang Askar Penjajah Pihak Bersekutu. Beliau bukan sahaja gagal mempertahankan negaranya malah beliau sendiri tertangkap.

Sultan Salahudin al Ayubi ketika wafat tidak meninggalkan harta yang banyak. (diriwayatkan beliau hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu hanyalah wang 5 Dinar) . Hampir kesemua hartanya telah diberikan kepada rakyat-rakyatnya yang miskin.

Sesungguhnya para hartawan, dermawan dan majikan seperti Abdul Rahman bin Auf RA, golongan rakyat jelata yang merdeka seperti Bilal bin Rabah RA dan golongan pemimpin seperti Sultan Salahudin al Ayubi sangat – sangat diperlukan untuk mengembalikan kegemilangan Islam.

Percayalah jika golongan-golongan ini muncul kembali, dunia Islam akan mencorakkan dunia dengan perintah dan undang – undang Allah SWT yang sesuai dengan fitrah manusia demi memperbaiki hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam semesta. Waalahualam.

Sunday, November 21, 2010

Qurban 2

Marilah kita melihat pengorbanan manusia kedua , namanya selalu disebut orang. Malahan namanya dikaitkan dengan tempat – tempat ibadat seperti masjid, surau, musala dan langgar. Beliau telah lama meninggalkan kita tetapi namanya tidak asing sama sekali. Betullah kata orang ‘Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama’.

Bilal bin Rabah RA adalah dikalangan golongan hamba yang mula – mula menganuti agama Islam. Beliau tegas memilih mempertahankan aqidahnya daripada keselesaan dunia yang ditawarkan oleh tuannya Umaiyyah bin Khalaf. Bilal bin Rabah RA sanggup mengorbankan jiwanya semata-mata mempertahankan aqidah Islam kerana Allah SWT. Namanya diharumkan oleh Allah SWT hingga ke saat ini.

Alangkah baiknya sekira ramai manusia-manusia di zaman ini bersifat seperti Bilal bin Rabah RA. Manusia-manusia yang melebihi hak Allah melebihi haknya sendiri. Manusia yang sanggup berdepan dengan majikan kerana takutkan Allah SWT.

Related Posts with Thumbnails