Sunday, November 21, 2010

Qurban 2

Marilah kita melihat pengorbanan manusia kedua , namanya selalu disebut orang. Malahan namanya dikaitkan dengan tempat – tempat ibadat seperti masjid, surau, musala dan langgar. Beliau telah lama meninggalkan kita tetapi namanya tidak asing sama sekali. Betullah kata orang ‘Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama’.

Bilal bin Rabah RA adalah dikalangan golongan hamba yang mula – mula menganuti agama Islam. Beliau tegas memilih mempertahankan aqidahnya daripada keselesaan dunia yang ditawarkan oleh tuannya Umaiyyah bin Khalaf. Bilal bin Rabah RA sanggup mengorbankan jiwanya semata-mata mempertahankan aqidah Islam kerana Allah SWT. Namanya diharumkan oleh Allah SWT hingga ke saat ini.

Alangkah baiknya sekira ramai manusia-manusia di zaman ini bersifat seperti Bilal bin Rabah RA. Manusia-manusia yang melebihi hak Allah melebihi haknya sendiri. Manusia yang sanggup berdepan dengan majikan kerana takutkan Allah SWT.


Tetapi malangnya, dewasa ini lebih ramai manusia yang takutkan majikan masing-masing melebihi ketakutan mereka kepada Allah SWT. Padahal mereka ini bukanlah dari golongan hamba tetapi manusia yang merdeka. Perintah Allah SWT seperti solat, puasa, menutup aurat dan sebagainya sanggup diambil ringan semata-mata menjaga hubungan dengan majikan.

Terfikir pula agaknya pada fikiran mereka yang cetek ini, majikan merekalah yang akan menemani mereka di dalam kubur nanti.

Sekiranya Allah SWT hendak mengurniakan sesuatu kepada hambaNya, tiada sesiapa di dunia boleh menghalangNya dan jika Allah SWT menghalang sesuatu nikmat kepada hambaNya, siapa pula yang mampu mengurniakannya.

Jikalau ramai dikalangan anggota masyarakat bersifat seperti Bilal bin Rabah RA, nescaya majikan juga terpaksa mengikut rentak pekerja mereka. Jika masyarakat seluruhnya bersifat seperti Bilal bin Raabah RA tentunya nama masyarakat tersebut akan harum seperti nama Bilal RA. Waalahualam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails