Monday, November 22, 2010

Qurban 3

Tuan Khatib menyebut nama manusia ketiga yang begitu signifikan peranan dan tanggungjawab kepada manusia umum. Kalau nama Abdul Rahman bin Auf RA disebut sebagai mewakili golongan orang kaya, berharta, derwawan, peniaga dan majikan. Sementara nama Bilal bin Rabah RA mewakili golongan orang biasa, pekerja dan rakyat umum tetapi nama manusia ketiga ini amat istimewa kerana beliau bukanlah sahabat nabi malahan tidak hidup sezaman dengan nabi besar kita Nabi Muhammad SAW.

Sultan Salahuddin al Ayyubi disebut namanya bagi mewakili golongan pemimpin yang cintakan Allah SWT. Diwaktu mempertahankan negara dan dunia umat Islam, beliau sanggup meninggalkan istana untuk berada dan menginap di perkhemahan tentera-tentera Islam tanpa memperdulikan ancaman tentera musuh yang berdekatan. Malahan beliau turut membawa seisi keluarganya ke perkhemahan tentera Islam sebagai lambang kesatuan dan sokongan mereka kepada perjuangan membela agama Islam. Seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan agama, negara dan rakyatnya melebihi kepentingan diri dan kaum keluarganya.

Berbeza dengan pemimpin – pemimpin di zaman ini dan mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di Timur Tengah suatu ketika dahulu. Bagaimana seorang pemimpin mempertahankan negaranya dalam persembunyian. Bersembunyi di dalam bunker (kubu pertahanan) sewaktu negaranya diserang Askar Penjajah Pihak Bersekutu. Beliau bukan sahaja gagal mempertahankan negaranya malah beliau sendiri tertangkap.

Sultan Salahudin al Ayubi ketika wafat tidak meninggalkan harta yang banyak. (diriwayatkan beliau hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu hanyalah wang 5 Dinar) . Hampir kesemua hartanya telah diberikan kepada rakyat-rakyatnya yang miskin.

Sesungguhnya para hartawan, dermawan dan majikan seperti Abdul Rahman bin Auf RA, golongan rakyat jelata yang merdeka seperti Bilal bin Rabah RA dan golongan pemimpin seperti Sultan Salahudin al Ayubi sangat – sangat diperlukan untuk mengembalikan kegemilangan Islam.

Percayalah jika golongan-golongan ini muncul kembali, dunia Islam akan mencorakkan dunia dengan perintah dan undang – undang Allah SWT yang sesuai dengan fitrah manusia demi memperbaiki hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam semesta. Waalahualam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails