Monday, November 29, 2010

Rapunzel 3D

Sudah seminggu cuti sekolah bermula dan Hanisah bersuara meminta percutian keluarga. Katanya ‘Hendak tidur di hotel macam percutian yang lepas’. Percutian yang dimaksudkan adalah percutian ke Melaka dan Negeri Sembilan pada bulan 3 yang lalu.

Bagi memujuk kedua –dua hati Hanisah dan Hakim, aku dan isteri tercinta membawa mereka menonton filem animasi komputer ‘Rapunzel 3D’ di Sunway Carnival Seberang Jaya. Mereka begitu terhibur melihat filem tersebut. Terubat juga hati mereka berdua. Tetapi minda diri ini dan isteri tercinta masih tercari cari tempat untuk percutian keluarga.

Ke Melaka sudah, ke Negeri Sembilan pun sudah. Aquaria KLCC pun sudah disinggahi. Teluk Batik, Lumut dan Pangkor destinasi percutian keluarga kami tahun 2008. Ke Bukit Merah pun sudah. Ke mana tempat percutian yang sesuai untuk keluarga? Destinasi pelancongan manakah yang menyediakan pelbagai aktiviti untuk mereka berdua?

Buntu juga akal ini memikirkannya. Tambahan pula kerja-kerja di pejabat masih banyak yang belum selesai. Kerja-kerja penganjuran baru bermula. Terasa masa begitu cepat berlalu akibat kesibukkan. Tetapi apabila memikirkan wajah-wajah penuh harapan Hanisah, Hakim dan isteri tercinta, Insya Allah percutian keluarga akan dilaksanakan. Destinasinya belum pasti tetapi kalau sesiapa ada cadangan dipersilakan.




Sunday, November 28, 2010

Tugasan Kedua


Alhamdullilah... Syukur kepada Allah SWT kerana tugasan kedua berjaya dilaksanakan. Walaupun masih terdapat banyak kekurangan dalam tugasan ini tetapi diharap ia dapat memberi sedikit gambaran program yang bakal dianjurkan pada pertengahan tahun hadapan.

Semuanya tidak akan berlaku tanpa keizinanNya dan bantuan para sahabat. Kepada semua sahabat yang membantu, tiada imbuhan kewangan yang dapat aku berikan dan tiada pengiktirafan dari manusia dapat dianugerahkan selain doa kepada Yang Maha Kuasa agar bakti jasa kalian dibalasiNya.

Apa yang menariknya, seorang sahabat memohon maaf kerana tidak dapat membantu padahal banyak jasa dan bantuan yang telah diberikannya. Mustahil tugasan kedua ini dapat dilaksanakan tanpa bantuan dari sahabat tadi. Semoga Allah SWT melapangkan dadanya, memfokuskan mindanya dan memudahkan urusan pengajiannya di IPTA.

Berbeza dengan amanah ini dengan amanah yang lain pernah kuterima. Amanah ini hanya bagi tempoh masa 8 bulan tetapi perancangan dan perlaksanaannya seolah-olah memerlukan masa 2 tahun.

Kepada para sahabat seangkatan seperjuangan, amanah yang kita terima ini sememangnya tidak mudah dan penuh jalan-jalan berliku. Pelbagai halangan, tohmahan dan cabaran perlu kita tempuhi bersama. Dengan masa dan kewangan yang terhad menjadikan amanah ini semakin sukar. Tetapi sekiranya kita berjaya melaksanakan amanah ini, ia akan menjadi inspirasi kepada semua.

Jika kita berjaya melaksanakannya dengan berjaya, pasti ia akan menjadi kenangan terbaik kepada kita semua yang pasti tidak dilupakan hingga 20 tahun akan datang malahan hingga hayat dikandung badan.

Inilah masa dan saatnya kita membuktikan keupayaan diri kita masing-masing. Masa untuk menggunakan kualiti terbaik dalam diri dan bersatu menjalankan amanah yang diberikan. Inilah masanya membezakan seorang pejuang dari pemberi alasan.

Pejuang akan terus mara walau apapun halangan yang terpaksa ditempuhinya. Manakala seorang pemberi alasan akan menggunakan seribu satu alasan untuk mengundur diri dan menahan dirinya daripada berusaha memberi yang terbaik.

Memetik falsafah Sun Tzu’s Art of War sebagai panduan:

It does not take much strength to lift a hair,

It does not take sharp eyes to see the sun and moon,

It does not take sharp ears to hear a thunderclap

Tuesday, November 23, 2010

Majlis Anugerah Cemerlang 2010 Tadika Jannatul An Nuar

Entah sapa la punya baju ni..
Aku bertolak lewat sedikit ke Pulau Pinang memandangkan Jambatan Pulau Pinang ditutup dari pukul 1.00 pagi hingga 10 pagi sempena Penang Bridge International Marathon 2010. Perjalanan ke Masjid Negeri untuk menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang 2010 Tadika Jannatul An Nuar terasa begitu lambat sekali. Mungkin kerana aku tidak sabar melihat Nur Hanisah Radhiah ke pentas untuk mengambil hadiah bagi pelajaran Sains dan Bahasa Melayu.

Tak sabar menunggu giliran ke pentas

Tunjuk Perasaan sebab dilarang menggunakan telefon bimbit (untuk main games)
Ramai ibu bapa yang hadir membawa anak-anak masing – masing. Ada yang ingin melihat anak menerima hadiah dan sijil serta tidak kurang ibu bapa yang datang untuk menyaksikan persembahan anak-anak tersayang.Kami tiba di Masjid Negeri sekitar pukul 1.00 petang. Sesudah solat zohor, aku, isteri tercinta, Hanisah dan Hakim melangkah kaki ke Dewan Syarahan yang berdekatan. Cantik sekali Dewan Syarahan yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden.
Hadiah untuk subjek Bahasa Melayu dan Sains
Kami semua terhibur melihat persembahan dan telatah anak – anak. Majlis tamat sekitar pukul 4 petang dan sesudah solat Asar kami bertolak pulang. Aku memilih untuk keluar dari Pulau Pinang dengan menaiki Feri Pulau Rawa.

Barisan Pemimpin Masa Hadapan
Sewaktu perjalanan pulang tergiang-giang nasyid yang didendangkan oleh pelajar-pelajar Taska Tahun 6. Nasyidnya berbunyi:

Aduh Sayang Sayang Orang Cerdik Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Muhammad Cerdik Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Cantik Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Yusof Cantik Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Kaya Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Sulaiman Kaya Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Tua Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Adam Tua Pun Sembahyang. (2x)

Aduh Sayang Sayang Orang Sakit Tak Sembahyang (2x)
Nabi Allah Ayub Sakit Pun Sembahyang (2x)


Related Posts with Thumbnails