Wednesday, December 22, 2010

Amalan Yang Mudah Diamalkan

Surah Al - Ikhlaas
Surah Al - Falaq
Surah An-Naas
At - Tirmidzi, Abu Daud, dan An - Nasa'i pula menyebut satu hadith yang maksudnya: "Bacalah surah - surah Qul 'A`ūdhu Birabbi Al-Falaqi (Al Falaq), Qul Huwa Allāhu 'Aĥadun (Al - Ikhlaas) & Qul 'A`ūdhu Birabbi An-Nāsi (An - Naas) 3 kali apabila engkau berada pada waktu pagi, dan 3 kali apabila engkau berada diwaktu petang, supaya engkau terpelihara dan terselamat dari segala bahaya dan bencana.

Sunday, December 19, 2010

Rombongan Mak Jah Dari Sg Acheh Ke Batu Kurau

Bagai Pinang Dibelah Dua : Aishah dan Rizal Hafiz 
Hari ini hari yang bersejarah. Kalau selama ini, Mak Jah dikunjungi orang yang berhajat menjadi sebahagian keluarganya tetapi kali ini Mak Jah akan ke Batu Kurau bagi menyampaikan hajat satu-satu anak lelakinya.

Rombongan yang disertai 4 buah kereta dan seramai 17 orang sampai di Batu Kurau pada waktu tengah hari. Sambutan yang kami terima amat meriah dan luar biasa. Inilah kali pertama aku menyertai rombongan meminang dan bertunang. Sememangnya orang Melayu kaya dengan adat dan tradisi.

Sarung Cincin Belah Rotan
Tuan rumah menanyakan hajat rombongan Mak Jah ke rumahnya. Setelah hajat disampaikan, tuan rumah memberikan syarat – syarat. Syarat – syarat seperti hantaran sebanyak RM 6500 dan Mas Kahwin sebanyak RM 1000 serta tempoh ikatan selama 1 tahun.

Selesai sudah kedua-dua pihak memberi persetujuan maka Mak Jah menyarungkan cincin belah rotan kepada bakal menantunya. Majlis Tahlil dilangsungkan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Ilahi atas keizinanNya dan redhaNya.

Kami kemudiannya dihidangkan makan tengahari yang lazat dan menyelerakan. Hidangan makanan kampung seperti kerabu pucuk paku, ikan masin, ayam goreng, pajeri terung, gulai nangka, ulam-ulaman, sambal belacan, pulut kuning, gulai daging dan pencuci mulut sememangnya seperti orang mengantuk disorong bantal.

Hanisah dan Hakim bergambar dengan Mak Ngah Chah
Kepada Abang Tan dan Kak Chah diucapkan Selamat Bertunang serta semoga perancangan yang dilakukan menjadi kenyataan serta mendapat keizinan Allah SWT.

Walaubagaimanapun dalam perjalanan pulang, aku dan Isteri Tercinta mengalami kesukaran dalam memberikan penjelasan kepada Hanisah perbezaan definasi ‘Pertunangan’ dan ‘Perkahwinan’. Kerana pada pendapatnya Pak Ngah Tan telah melangsungkan majlis perkahwinan dengan Mak Ngah Chah.

Tuesday, December 14, 2010

Lost World Of Tambun

Pagi - pagi lagi kami telah bertolak dari Jawi ke Ipoh. Destinasi kami adalah Lost World of Tambun di Ipoh , Perak Darul Riduan. Walaupun hujan lebat, perjalanan diteruskan juga untuk memenuhi janji yang dibuat kepada Hanisah dan Hakim.

Semalaman aku dan isteri tercinta melayari internet untuk mendapat gambaran tentang Lost World of Tambun. Setelah berpuas hati, kami bersetuju untuk membawa Hanisah dan Hakim ke sana seawal pagi esok. Tambahan pula esok merupakan cuti umum di seluruh negara.

Kami sampai seawal jam 10.00 pagi dan taman tema tersebut baru dibuka. Kami menghabiskan masa di sana sehingga pukul 5.00 petang. Kemudahan seperti surau, gerai - gerai makanan dan pelbagai lagi memudahkan lagi aktiviti keluarga di Lost World Of Tambun.

Sunday, December 05, 2010

Al Fatihah buat Wan Hassan


Lenaku tersentak apabila Hanisah mengejutkan aku untuk meminjam telefon bimbit. Katanya

‘Abah!!! Wan Hassan dah meninggal. Ibu nak pinjam telefon’.

Aku masih dalam keadaan mamai akibat baru bangun dari tidur terus mencari – cari telefon bimbit yang berada dalam beg laptop.

‘Betul ke Hanisah?’

Soalku meminta kepastian. Pertanyaanku tidak dijawapnya. Setelah tangan tersentuh telefon bimbit aku menghulurkan kepada Hanisah, lalu dia membawanya kepada Isteri Tercinta.

Aku terdengar perbualan antara Isteri Tercinta yang berada di dapur dengan anak perempuan Wan Hassan. Serentak dengan itu, terdengar tangisan Hanisah yang kembali ke arahku.

‘Wan Hassan dah meninggal. Kakak sayang Wan Hasan’

Lantas Hanisah duduk di atas sofa sambil menangis teresak-esak. Aku hanya mampu mengurut-gurut kaki anak sulongku ini. Walaupun baru berusia 5 tahun tetapi dia telah memahami hakikat kematian. Setelah hampir 10 minit barulah tangisannya mulai reda.

Tiada kata – kata yang keluar dari mulutku untuk memujuknya. Mungkin disebabkan aku tidak menyangka Wan Hassan akan meninggalkan kami selama – lamanya.

Wan Hassan merupakan suami kepada pengasuh Hanisah dan Hakim. Allahyarham telah dianggap sebagai datuk oleh mereka berdua. Mereka berdua menjaga Hanisah dan hakim sejak mereka berdua berumur 2 bulan. Tetapi Hanisah lebih rapat kerana mereka menjaganya lebih lama hampir 5 tahun. Selepas pencen, Allahyarham diserang serangan angin ahmar yang menyebabkan badannya lumpuh. 3 hari lepas, Allahyarham telah terjatuh di bilik mandi menyebabkan beliau terpaksa dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya.

Sekali lagi air mata Hanisah berlinangan apabila melihat Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kubang Semang. Sekali lagi aku hanya mampu memegang tangannya. Lidahku kelu tidak dapat mengeluarkan perkataan yang boleh memujuknya. Selesai majlis pengebumian, Isteri Tercinta menanyakan sebab musabah Hanisah menangis.

‘Kakak sedih. Kakak ada 3 Wan tetapi la ni dah tinggai 2’

Berehat di tangga Masjid Kubang Semang

Wednesday, December 01, 2010

Telatah Anak Anak 4

Buah Lai, Strawberi & Bertih Jagung

Dalam perjalanan ke Tesco Alma Bukit Mertajam, Hanisah menikmati buah lai yang diperolehi ketika menghadiri majlis kenduri kahwin seorang sahabat. Isteri tercinta meminta untuk berkongsi buah lai tersebut.

Hanisah: Sedap ibu. Ibu kalau nak makan kena pejam mata baru sedap. (sambil menghulurkan buah lai kepada isteri tercinta)

Isteri Tercinta: ooo!!! Kena pejam mata ka baru boleh makan?

Hanisah : Betui bu. Kakak makan tadi sambil pejam mata. Mula-mula rasa macam strawberi lepas tu rasa macam bertih jagung (bersungguh-sungguh Hanisah menyakinkan ibunya).


Awek?

Isteri tercinta sedang menunggu giliran untuk membeli makan malam kepada kami berempat. Aku menunggu di meja sambil mengawasi Hanisah dan Hakim. Tiba-tiba Hakim bangun untuk pergi ke isteri tercinta.

Aku: Hakim nak pi mana? Duduk situ jangan pi mana-mana.

Hakim: Hakim nak pi kat ibu.

Aku: Tak payah. Ibu dok jauh sangat. Orang pulak ramai. Nanti hilang susah.

Hakim: Nanti orang culik ka? Pasai apa?

Aku: Pasai Hakim hansem. (aku ketawa)

Hakim: ooo yang nak culik Hakim tu awek ka?


Ibu Jari vs Jari Abah

Sewaktu Hanisah berusia dalam lingkungan 3 tahun, dia mula mengetahui nama – nama jari.

Hanisah: Kelingking, Manis, Hantu, Telunjuk dan Jari Abah.

Isteri tercinta: Bukan jari abah la. Nama jari ni Ibu Jari. (sambil menunjukkan ibu jarinya)

Hanisah: Ibu kurus. Ini Jari Abah. Sebab jari ni pendek dan gemuk macam abah.
Related Posts with Thumbnails