Sunday, December 05, 2010

Al Fatihah buat Wan Hassan


Lenaku tersentak apabila Hanisah mengejutkan aku untuk meminjam telefon bimbit. Katanya

‘Abah!!! Wan Hassan dah meninggal. Ibu nak pinjam telefon’.

Aku masih dalam keadaan mamai akibat baru bangun dari tidur terus mencari – cari telefon bimbit yang berada dalam beg laptop.

‘Betul ke Hanisah?’

Soalku meminta kepastian. Pertanyaanku tidak dijawapnya. Setelah tangan tersentuh telefon bimbit aku menghulurkan kepada Hanisah, lalu dia membawanya kepada Isteri Tercinta.

Aku terdengar perbualan antara Isteri Tercinta yang berada di dapur dengan anak perempuan Wan Hassan. Serentak dengan itu, terdengar tangisan Hanisah yang kembali ke arahku.

‘Wan Hassan dah meninggal. Kakak sayang Wan Hasan’

Lantas Hanisah duduk di atas sofa sambil menangis teresak-esak. Aku hanya mampu mengurut-gurut kaki anak sulongku ini. Walaupun baru berusia 5 tahun tetapi dia telah memahami hakikat kematian. Setelah hampir 10 minit barulah tangisannya mulai reda.

Tiada kata – kata yang keluar dari mulutku untuk memujuknya. Mungkin disebabkan aku tidak menyangka Wan Hassan akan meninggalkan kami selama – lamanya.

Wan Hassan merupakan suami kepada pengasuh Hanisah dan Hakim. Allahyarham telah dianggap sebagai datuk oleh mereka berdua. Mereka berdua menjaga Hanisah dan hakim sejak mereka berdua berumur 2 bulan. Tetapi Hanisah lebih rapat kerana mereka menjaganya lebih lama hampir 5 tahun. Selepas pencen, Allahyarham diserang serangan angin ahmar yang menyebabkan badannya lumpuh. 3 hari lepas, Allahyarham telah terjatuh di bilik mandi menyebabkan beliau terpaksa dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya.

Sekali lagi air mata Hanisah berlinangan apabila melihat Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kubang Semang. Sekali lagi aku hanya mampu memegang tangannya. Lidahku kelu tidak dapat mengeluarkan perkataan yang boleh memujuknya. Selesai majlis pengebumian, Isteri Tercinta menanyakan sebab musabah Hanisah menangis.

‘Kakak sedih. Kakak ada 3 Wan tetapi la ni dah tinggai 2’

Berehat di tangga Masjid Kubang Semang
Related Posts with Thumbnails