Sunday, October 17, 2010

Ikan Keli Haram Dimakan?

Ramai juga ahli jemaah yang inginkan kepastian dari Tuan Ustaz berhubung persoalan halal / haram ini. Kononnya telah heboh bahawa ikan-ikan keli diberikan makanan dari bahagian- bahagian khinzir. Begitu juga sayur-sayuran yang dikatakan menggunakan baja dari bahan buangan binatang tersebut.

Tersenyum Tuan Ustaz apabila para jemaah mengajukan pertanyaan kepadanya.

Tuan Ustaz: Yang tertakluk kepada perkara yang halal dan haram hanyalah manusia. Binatang tidak tertakluk kepada hukum halal haram ini. Ikan keli yang memakan binatang – binatang yang haram dimakan oleh manusia, boleh kita makan. Sekiranya dibeli menggunakan wang yang diperolehi dari sumber yang halal. Samalah dengan sayur-sayuran itu. Kalau kita bimbang baja yang diguna menggunakan bahan buangan khinzir, samak sahajalah jawapannya. Soal kita lalu atau tidak untuk memakannya adalah persoalan lain, bukan persoalan hukum.

Aku berasa amat lega mendengar penjelasan Tuan Ustaz. Memang zaman kini ramai sangat di antara ahli masyarakat sangat suka mengharamkan sesuatu yang halal. Mungkin mereka berasa akan perkara ini kecil tetapi jikalau mereka tahu perbuatan menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang dihalalkan boleh membatalkan syahadah, sudah pasti mereka tidak akan berbuat demikian.

Bagi mereka yang berhujah ikan keli yang memakan daging khinzir haram dimakan, cubalah berfikir tentang isu-isu ini:

1. Ikan – ikan laut yang dibeli di pasar-pasar. Adakah tuan puan yakin ikan yang dibeli memakan kesemua bahan yang halal di lautan sana. Padahal hampir mencecah angka juta sehari, kapal-kapal dagang, kapal-kapal persiaran, kapal perang, bot –bot nelayan yang membuang sisa – sisa makanan ke laut. Makanan yang terdiri daripada daging khinzir, daging ayam, kambing, lembu (yang tidak disembelih) kerana majoriti dari mereka bukanlah dari kalangan orang-orang yang beragama Islam. Adakah ikan-ikan laut yang memakan sisa makanan ini juga turut haram di makan?

2. Adakah tuan puan yang amat prihatin pemakanan ikan keli tidak prihatin kepada pemakanan ikan-ikan laut? Tuan puan berhujah bahawa ikan keli yang memakan daging khinzir haram dimakan. Adakah tuan puan juga telah menyelidik dan pasti bahawa kesemua ikan-ikan laut yang tuan puan beli di pasar memakan hanya bahan yang halal di lautan sana? Kenapa wujud ‘double standard’ dalam penghujahan tuan puan?

3. Adakah tuan puan yakin bahawa daging ayam yang dibeli hanya memakan dedak? Tidakkah mungkin berlaku ayam-ayam tersebut memakan makanan lain seperti serangga, semut, kelkatu malahan cicak sekalipun? Bukankah serangga dan haiwan ini tidak boleh kita makan? Adakah dengan memakan serangga dan haiwan ini membuatkan daging ayam – ayam itu haram dimakan?

Nasihat Tuan Ustaz berhentilah dari menyebarkan perkara yang kita tidak tahu akan kebenarannya dan bertanyalah kepada mereka yang tahu.

Janganlah kita mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah SWT dan menghalalkan perkara yang diharamkanNya. Perbuatan ini boleh membatalkan akidah dan syahadah perlakunya.

Perkara – perkara lain yang boleh dianggap menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah:

i) Menghalang perhubungan suami isteri yang sah setelah bernikah kerana bimbang hilang seri sewaktu hari perkahwinan. Perkara ini sering dibuat oleh ibu bapa apabila anak gadisnya bernikah lebih awal sebelum hari kenduri perkahwinan.

ii) Menganggap wang yang diperolehi dari sumber haram seperti judi, riba, rasuah, menipu, mencuri, meragut, merompak halal dan boleh dimakan. Sedangkan makanan yang halal dimakan seperti nasi, ikan, telur jika dibeli menggunakan sumber yang haram, turut haram dimakan. Sekiranya wang dari sumber yang haram digunakan untuk membeli Nasi Lemak dan Teh Tarik maka tiada bezanya Nasi Lemak dengan ‘Pork Rice’ dan Teh Tarik dengan ‘Calsberg’. Semuanya haram belaka.

Termasuk dalam kategori penipu apabila seseorang menyebarkan berita atau cerita yang dia sendiri tidak tahu dengan ilmu akan kebenaran sesuatu berita atau cerita yang disampaikannya. Waallahualam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails