Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadikan aku sebahagian dari Umat Islam di akhir zaman. Dahulunya sewaktu muda remaja, aku sering mencari jawapan mengapa aku ditempatkan di tempat, pada zaman dan dalam bentuk tubuh seperti ini. Pada fikiranku yang cetek, alangkah bagusnya sekiranya dapat hidup pada zaman Rasullullah SAW. Bersama-sama dapat berjuang menegakkan agama Allah SWT. Sekali lagi nasihat dan pendapat Tuan Ustaz membesarkan lagi ruang lingkup pemikiran.
Untuk memahaminya perbandingan di zaman ini dibuat sebagai contoh. Terdapat 2 kumpulan manusia antara satu dan yang lainnya amat berbeza.
Kumpulan Pertama:
Terdiri daripada pemimpin-pemimpin masyarakat, orang-orang kenamaan, orang-orang kaya dan manusia-manusia yang lain. Mereka mengalakkan hiburan bebas, hubungan antara lelaki perempuan tanpa ikatan, minum arak, dadah dan benda-benda lain yang mengkhayalkan, skim-skim cepat kaya tanpa usaha yang gigih, riba, judi , tidak perlu kepada ibadat-ibadat seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya. Bebas merayakan sebarang perayaan. Tiada undang-undang yang dapat menghalang mereka. Mereka menjadikan dunia ini seperti syurga. Segala kehendak nafsu dituruti tanpa segan silu. Sememangnya jalan yang mereka pilih amat-amat disukai oleh nafsu serakah.
Kumpulan Kedua:
Kumpulan yang terdiri daripada manusia biasa, bukan dari kalangan bangsawan mahupun hartawan. Menegah manusia lain dari menjadikan nafsu mereka sebagai Tuhan. Melarang manusia dari perkara-perkara seperti hidup semata-mata kerana hiburan, percampuran lelaki dan perempuan tanpa ikatan, judi , meminum arak dan sebagainya. Mereka sering dihina oleh masyarakat. Setiap ceruk manusia hanya menceritakan bahawa mereka ini jahat padahal hakikat sebenarnya mereka adalah terbaik. Mereka dituduh melanggar tradisi dan pemecah belah umat. Mereka menongkah arus dari pemikiran masyarakat. Mereka menutup segala jalan disukai hawa nafsu tetapi membuka jalan yang amat dicintai oleh fitrah manusia. Mereka hidup dengan undang-undang dan hidup mereka merupakan ibadah kepada yang Maha Esa. Solat, puasa, zakat dan ibadat-ibadat lain menjadikan amalan hidup mereka seharian.
Maka tepuk dada tanyalah selera. Kumpulan mana yang tuan puan akan pilih?
Sudah pasti selera akan memilih kumpulan yang pertama. Tapi jika tepuk dada tanya iman, Insya Allah iman akan memilih kumpulan yang kedua.
Mereka yang pernah berada dikumpulan pertama adalah Abu Lahab dan Abu Jahal. Sementara yang berada dikumpulan kedua adalah Rasullullah SAW dan para sahabat RA. Adakah aku akan memilih kumpulan pertama atau kedua?
Kalaulah aku hidup di zaman Arab Jahilliyah, di sana segala bentuk perjudian, maksiat, penzinaan, keseronokkan yang tidak mengenal batasan menjadi tradisi. Tiba-tiba datang seorang lelaki menghalang aku dari segala bentuk maksiat yang melalaikan. Adakah aku akan mendengar seruan lelaki tersebut atau kekal dalam tradisi Arab Jahilliyah?
Tuan Ustaz ada berpesan, “ Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah SWT”.
Inilah jawapan terbaik kepada persoalanku selama ini. Aku dilahirkan di bumi ini, negara ini, dalam zaman ini, dalam bentuk tubuh dan wajah sebegini kerana ia merupakan jalan terbaik untukku melaksanakan tugasku sebagai Hamba Allah SWT dan khalifah Allah di muka bumi. Jalan terbaik bagiku untuk memperolehi keredhaanNya di dunia mahapun di akhirat. Waallahualam.
No comments:
Post a Comment