Thursday, October 07, 2010

Minyak & Rambut Part 2

Hati rasa berdebar-debar apabila Akak tahun 3 dan teman lelakinya menghampiri kami. Aku berdiri di sebelah kiri Min sementara Nan di sebelah kanannya. Mata aku masih tidak lepas memandang topi kalendar (helmet) teman lelaki akak tadi yang dipegang di tangan kanan.

Aku, Nan dan Min juga memegang helmet masing-masing. Sudah menjadi rutin kami akan sentiasa membawa helmet kerana bimbang ia hilang atau basah sekiranya ditinggalkan di motosikal masing-masing. Menilai situasi ini, Akak tahun 3 dan teman lelakinya mempunyai kelebihan yang banyak berbanding kami.


Pertama : Pada ketika itu, hanya kami bertiga merupakan pelajar dari course Kejuruteraan Komputer. Manakala yang lainnya dari course Sains Komputer seperti akak tadi. Malahan kami bertiga ‘menumpang’ kelas kuliah pelajar Sains Komputer.

Kedua: Akak tadi merupakan pelajar yang lebih senior. Walau pun pengaruh senioriti di IPTA tidak sekuat pengaruhnya di sekolah berasrama tetapi ia tidak boleh dipandang ringan.

Ketiga : Kami bertiga bukanlah berasal dari Johor, negeri di mana IPTA kami bertapak. Aku dari Pulau Pinang, Nan dari Melaka dan Min dari negeri Pahang. Manakala perwatakkan teman lelaki akak tahun 3 seperti anak kelahiran Johor.

Keempat: Tiada hujah yang dapat mempertahankan tindakan Min. Memang tindakannya itu salah. Kalau dibawa ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sudah pasti Min dikenakan tindakan tatatertib sama ada digantung atau dibuang dari IPTA.

Akak tahun 3 terus menyumpah dan memaki hamun Min. Perkataan Inggeris yang mempunyai 4 huruf dan bermula dengan huruf ‘F’ diulang-ulangnya. Tangan kiri masih memegang rambut sementara tangan kanan mengenggam erat tangan kiri teman lelakinya.

Akak tahun 3: ‘F’ word !!!, F’ word !!!, ‘F’ word !!!, F’ word !!!, F’ word !!!,

Teman Lelaki: Bai!!! Gua nak tanya sikit. Lu ingat dia ni adik lu ke? (sambil menunjuk kepada akak tadi dengan matanya)

Aku : Rileks la abang. Bawa bincang. (sengaja aku menggunakan perkatan ‘abang’ untuk mengendurkan api kemarahannya)

Min : Sori la. Aku bukan sengaja. Aku takde niat pun. (Min memohon maaf)

Hilang sabar dengan jawapan Min yang mungkin dianggap acuh tidak acuh, teman lelaki akak tahun 3 terus menghayun helmetnya kepada Min. Min tidak mengelakkan mungkin disebabkan rasa bersalah tetapi aku sempat mengangkat helmetku untuk menghadang serangan itu dari mengenai Min. Teman lelaki akak tahun 3 tersentak. Dia seolah-lah baru menyedari aku dan Nan berada dikiri dan kanan Min. Disebabkan kemarahan, dia tidak menyedari langsung kehadiran aku dan Nan.

Tiba-tiba datang seorang lagi pelajar lelaki tahun 3 dari course Sains Komputer. Dia menarik aku ke tepi jauh dari Min. Nan juga diarah meninggalkan Min. Kini Min tinggal seorang diri untuk berdepan dengan Akak tahun 3 dan teman lelakinya. Pelajar tahun 3 memberikan isyarat kepadaku bahawa tiada apa-apa yang akan berlaku kepada Min.

Betul firasat pelajar lelaki tahun 3 tadi, Min hanya dimaki hamun oleh Akak dan teman lelakinya. Berkandar – kandar juga makian yang diterimanya. Rasa-rasa aku, makian yang diterima Min pada petang itu cukup untuk dibuat bekalannya untuk sepanjang tahun. Min cuba memohon maaf tetapi tidak diendahkan. Setelah berberapa minit mereka berdua pergi meninggalkan Min. Kalam terakhir teman lelakinya membuatkan aku berasa amat bimbang.

Teman Lelaki: Bai!!! Lu ingat sikit. Gua nak ingatkan lu yang gua ni budak Kluang. Lu keluar dari ‘U’ ni nanti lu tau le nanti langit ni tinggi ke rendah.

Aku dan Nan berjalan menghampiri Min. Buntu fikiran aku untuk menyelesaikan masalah ini. Min seolah-seolah terkedu, dan terus mendiamkan diri. Nan bersuara memecahkan kesunyian. Kata – kata dari Nan merupakan talian hayat untuk Min.

Nan: Eh!!! Baru aku perasan. Boyfriend akak tadi tu, kalau tak salah aku, senior si ‘bapak’. Satu sekolah asrama dengan ‘bapak’. ‘Bapak’ pernah citer kat aku dulu.

Aku: Nan! Hang call ‘bapak’ lani jugak. Mintak tolong dia slow talk dengan senior dia tu. Biaq cherita ni settle kat sini. Bukan settle kat luar ‘U’ ataupun kat HEP.

Arahan aku kepada Nan sambil menarik Min masuk ke dalam kelas kuliah. Nan mengekori kami dari belakang perlahan-lahan. Tangannya memegang telefon dan panggilan dibuat kepada ‘bapak’. Setelah berbincang dengan ‘bapak’, Nan menunjukkan isyarat ibu jari kepada aku. Kami melangkah masuk ke dalam kelas.Rancangan kami untuk berbincang masalah ini terbantut dengan kehadiran pensyarah.
Related Posts with Thumbnails