Dalam kehidupan kita sehari hari, kita sering berjumpa dengan manusia – manusia yang suka bercakap besar, masuk bakul angkat sendiri, tin kosong, gebang ghondi dan gelaran terbaru yang ku dengar adalah Sembang Langit. Manusia jenis ini suka membanggakan kehebatan diri konon dialah yang terhebat di antara yang terhebat.
Kita baru bicara tentang bermain bola di waktu petang, dia sudah mencanangkan bahawa dia pemain kelab. Kita pernah bermain sesuatu sukan untuk mewakili negeri. Dia mengaku terpilih mewakili semua sukan untuk negeri hinggakan namanya juga ditukar kepada ‘State’. Kita baru berjaya mengail seekor ikan toman, baginya dialah pakar menjala ikan toman. Sekali menjala berpuluh – puluh ikan toman naik ke darat. Pandak kata dia 1000X lebih baik dari kita. Realiti sebenar kehebatannya hanya bernilai 5 kupang tetapi diwarwarkan kepada umum seolah – olah nilai menjangkau RM 1 juta. Kasihan manusia seperti ini dirasakan orang kagum padahal lagaknya tidak ubah seakan akan seorang badut.
Satu jenis manusia lagi suka berdengki. Pantang melihat orang lain mendapat nikmat pasti fitnah dan umpatan disebarnya sendiri. Berbeza dengan manusia Sembang Langit yang suka bercerita kehebatan diri, mereka ini lebih suka memburukkan orang lain. Agaknya mereka ini langsung tiada cacat cela. Mereka ini bermuka manis di depan, bermuka begis di belakang. Merekalah digelar Talam 2 Muka (T2M), musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, penikam dari belakang dan duri dalam daging. Kasihan manusia jenis ini terpaksa memburukkan orang lain semata – mata untuk menampakkan dirinya baik.
Antara manusia yang paling marabahaya adalah manusia Sembang Langit Ludah Bumi. Mereka bukan sahaja suka berbangga dengan kehebatan diri yang tidak seberapa tetapi dalam masa yang sama memburukkan dan merendahkan orang lain. Kedudukannya seperti di langit dan manusia lain hanya di bumi. Sembangnya begitu gah melangit tinggi sambil meludah muka manusia lain di bumi.
Kepada manusia-manusia Sembang Langit, T2M dan Sembang Langit Ludah Bumi insaflah. Sehebat mana pun kita ini, kematian bakal menjemput PASTI. Daripada memuji diri lebih baik memuji Ilahi. Daripada mencari aib orang lebih baik mencari aib sendiri semoga ia dapat diperbetul dan diinsafi. Waallahualam.