Seorang pelajar matrik di sekolahku yang berasal dari negeri di bawah bayu mengalami mimpi yang aneh. Kalau tak salah nama pelajar itu seperti nama watak yang dilakonkan oleh Russell Crowe dalam filem ‘Gladiator’. Beliau bermimpi di bawa ke suatu tempat yang sangat cantik, aman dan tenteram oleh seorang lelaki. Lelaki yang membawanya merupakan seorang yang jujur lagi amanah, kacak rupa paras, baik budi pekerti dan tidak jemu mata memandang serta hati menilai.
Tempat yang dikunjungi begitu asing bagi beliau. Bukan sahaja kakinya tidak pernah menjejaki, mata tidak pernah melihat dan malahan telinga pun tidak pernah mendengar. Setelah menunjukkan setiap ceruk tempat yang asing itu, lelaki yang sopan tadi meminta diri. Sebelum berpisah, pelajar matrik meminta lelaki tersebut memperkenalkan dirinya. Sebaik sahaja mendengar nama lelaki itu, beliau terjaga dari tidurnya.
Perasaan ingin tahunya membuak-buak.
Siapakah gerangan lelaki tersebut?
Ke manakah dia telah di bawa?
Tempat apakah yang cantik, aman lagi tenteram itu?
Memandangkan beliau merupakan dari kelompok bumiputera di Malaysia Timur dan kurang bercampur dengan orang-orang Melayu, pertanyaan diajukan kepada Tuan Ustaz. Beliau berbuat demikian kerana nama lelaki dalam mimpi, pada fikirannya adalah nama yang biasa bagi orang-orang Melayu.
Berceritalah panjang lebar akan perihal mimpinya kepada Tuan Ustaz. Tuan Ustaz berasa kagum dengan mimpi pelajar matrik tadi lalu mengeluarkan beberapa koleksi gambar dalam simpanannya. Alangkah terkejutnya pelajar matrik tersebut kerana gambar –gambar yang ditunjukkan oleh Tuan Ustaz adalah tempat yang sama dalam mimpinya. Maka persoalannya tertumpu kepada lelaki dalam mimpinya. Harapannya begitu menggunung agar Tuan Ustaz dapat membongkar identiti lelaki berkenaan.
Tuan Ustaz: Siapa nama lelaki dalam mimpi awak malam semalam?
Pelajar Matrik: Dia bilang namanya Muhammad bin Abdullah. Dia juga bilang yang dia adalah Rasullulah. Siapa sebenarnya dia Tuan Ustaz?
Maka Tuan Ustaz menerangkan secara panjang lebar tempat yang dilawati dan lelaki yang ditemui. Tuan Ustaz mengucapkan tahniah kepadanya kerana berpeluang berjumpa dengan Nabi Umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW. Peluang yang jarang-jarang ditemui malahan Tuan ustaz sendiri tidak berpeluang mengalami mimpi sepertinya. Ciri-ciri lelaki dalam mimpinya selaras dengan ciri-ciri Nabi Muhammad SAW yang boleh ditemui dalam catitan hadis-hadis shahih.
Mimpi itu membuatkan pelajar matrik mula berminat untuk mengenali ajaran agama Islam. Tidak lama kemudian beliau telah memeluk agama Islam dan memilih nama ‘Firdaus’ sebagai namanya. Walaupun baru memeluk agama Islam, Firdaus sentiasa berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, sentiasa bersolat 5 waktu secara jemaah di masjid dan sentiasa berada disaf yang pertama setiap kali waktu solat. Sesuatu yang nampak mudah tapi amat susah untuk dilaksanakan. Mungkin disebabkan kesungguhannya itulah dia berpeluang bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan dibawa ke Mekkah melihat Kaabah walaupun ketika itu dia masih belum memeluk agama Islam. Waallahualam.
No comments:
Post a Comment