Jalan Palas 12 |
Kehidupan mahasiswa di selatan semenanjung agak berbeza berbanding dengan IPTA lain. Di sini yuran pengajian yang agak mahal, kos sara hidup yang tinggi, kemudahan asrama yang terhad memaksa sebahagian besar pelajar menyewa rumah di luar kampus. Sudah pasti apabila tinggal di luar, kami memerlukan kenderaan untuk ke kuliah. Kemudahan bas yang disediakan oleh pihak universiti memberi keutamaan kepada mahasiswi. Lagipun jadual dan pergerakkannya yang terhad serta terbatas membuat ia tidak menjadi pilihan kami.
Cameraman : Mark1; CD & Paipon Tiada Dalam Gambar |
Aku dan para sahabat menyewa sebuah rumah di Taman Teratai. Rumah sewa kami merupakan rumah setingkat yang terletak di hujung Jalan Palas 12. Sewanya pada ketika itu adalah RM 550 sebulan. Rumah yang mempunyai 3 bilik itu sesuai disewa oleh aku dan 7 orang sahabat. Walau bagaimana pun kerena gagal mencari rumah sewa, seramai 7 orang lagi sahabat menumpang di rumah kami menjadikan penghuni rumah sewa berjumlah 15 orang.
Aku, Paipon, Miskam, Apeman, Butet, Mark1, Imkas, Double, Matusen, Jokar, YD, CD, Smurf, Rnif dan Sarge. Bayangkanlah rumah teres 3 bilik dikongsi seramai 15 orang penghuni. Purata 1 bilik dikongsi 5 orang dan apabila malam menjelang kebanyakkan kami tidur di ruang tamu. Sekali imbas permandangannya seperti medan perang, bergelimpangan tubuh – tubuh manusia yang tidak teratur susunannya. Malahan bila terbangun di tengah malam untuk ke tandas sekalipun, memerlukan kemahiran melangkah yang tinggi agar tidak terpijak sahabat-sahabat yang sedang lena dibuai mimpi.