Gambar Hiasan |
Makan malam kami sedikit terganggu apabila seorang pelanggan wanita menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap makanan yang dihidang kepada tauke kedai. Hidangan makanan di Simpang 9 memang sedap dan terkenal menarik perhatian ramai pelanggan dari luar mahupun dalam.
Isteri tercinta memberikan isyarat mata kepadaku agar memerhatikan tingkah laku pelanggan tadi. Mungkin kerana perasaan marah, pelanggan tersebut bersikap demikian. Hati ini teringat kepada kisah seorang alim dan telatah isterinya.
Sebelum keluar berdakwah, si isteri telah berpesan kepada suaminya seorang yang amat alim lagi tinggi ilmu dan akhlak untuk membeli sebiji buah tembikai. Setelah selesai berdakwah, orang alim pun membeli sebiji buah tembikai seperti yang dipesan oleh si isteri.
Sampai sahaja di rumah, buah tembikai diberikan kepada si isteri. Si isteri dengan segera membelah buah tembikai dan alangkah terkejutnya apabila mendapati isi buah tembikai itu busuk. Maka marahlah si isteri kepada suaminya. Suami dengan tenang berbicara dengan si isteri.
“Engkau marah pada siapa sebenarnya? Aku telah menggunakan ilmu dan kemahiranku untuk memilih buah yang terbaik agar berbaloi wang yang kukeluarkan.
Adakah engkau marah kepada peniaga buah tersebut? Aku telah meminta peniaga buah –buahan itu untuk memilih buah yang terbaik. Dia pun dengan ilmu dan kemahirannya memilih buah yang terbaik. Malahan dia juga telah mendapatkan buah tembikai itu dari pekebun yang terbaik demi untuk menjaga reputasi premis perniagaan dan hati pelangannya.
Adakah engkau marah kepada pekebun itu? Pekebun berpanas dan bermandi keringat agar tanam-tanaman semuanya berbuah dan menghasilkan hasil yang terbaik. Dia juga tidak ingin menjual buah yang buruk lagi busuk demi menjaga nama baiknya. Pekebun mana yang ingin benih yang ditanam mengeluarkan hasil yang busuk?
Adakah engkau marah kepada Pencipta buah tembikai itu? Sememangnya engkau tidak layak memarahiNya kerana kita hanyalah hamba kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa. Ilmumu, ilmuku, ilmu peniaga dan ilmu pekebun itu memang tidak setanding dengan Nya yang mempunyai ilmu yang Maha Luas.
Kita hanya berusaha yang terbaik tetapi Allah SWT sahajalah yang boleh menentukan hasilnya. Insaflah wahai isteriku yang tercinta, ini merupakan sebahagian ujianNya untuk menguji keimanan, keredhaan dan akhlak kita”.
Berbalik dengan cerita pelanggan tadi, dia telah diuji dengan hidangan yang tidak memuaskan hatinya.
Tauke kedai diuji dengan kelakuan dan perangai pelanggan yang tidak menyedapkan mata memandang, telinga mendengar dan hati menilai.
Kami juga diuji dengan kejadian ini agar mendapat iktibar darinya dan menilai dengan iman, ilmu dan akhlak agar lebih dekat kepada-Nya.