‘Bapak’, sahabat satu course kami di IPTA. 'Bapak' yang berasal dari Johor Bahru merupakan anak tunggal kepada ibu bapanya. Bapa ‘Bapak’ bekerja sebagai Professor Madya di IPTA kami sementara ibu beliau merupakan kaki tangan IPTA juga. Beliau bukan sahaja dikenali di IPTA tetapi juga dikenali di sekolah asramanya yang dahulu. Beliau selesa dengan panggilan nama 'Bapak'. Kini ‘Bapak’ merupakan harapan Min bagi menyelesaikan masalahnya.
Selepas kuliah berakhir aku, Min dan Nan mencari satu sudut terasing dari mahasiswa dan mahasiswi lain untuk meneruskan perbincangan. Kami berbincang mengenai ugutan Teman Lelaki Akak tahun 3 tadi. Memang tidak dinafikan ketiga-tiga bersetuju bahawa ugutan itu serius dan bukannya sekadar halwa telinga. Kebimbangan perkara ini dilaporkan kepada Bahagian HEP juga dibangkitkan oleh Nan. Nan begitu bimbang Min akan berdepan tindakan tatatertib oleh pihak universiti sekiranya kes ini dilaporkan.
Sedang kami rancak berbincang tiba-tiba telefon Nan berdering, panggilan dari ‘Bapak’. Beliau telah berjaya memujuk Teman Lelaki Akak tahun 3 yang juga merupakan seniornya di sekolah menengah untuk tidak mengambil sebarang tindakan kepada Min. Tetapi menurut bapa, seniornya itu tidak bercakap bagi pihak Akak tahun 3. Sekiranya teman wanitanya ingin membawa kes ini ke Bahagian HEP, dia tidak akan menghalang. Nasihat senior Bapak kepada Min agar Min pergi berjumpa dengan Akak tahun 3 dan memohon kemaafan.
Lega kami semua apabila Bapak berjaya menyelesaikan separuh dari masalah ini. Min berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Bapak. Sebelum Bapak meletakkan telefon dia berpesan kepada Min agar tidak lagi mengulangi perbuatannya dan menyuruh segera berjumpa dengan Akak tahun 3 untuk memohon maaf. Disebabkan ketika itu sudah hampir menjelang waktu Maghrib, kami pun pulang ke rumah sewa masing-masing.. Kami sepakat untuk berjumpa dengan Akak tahun 3 pada waktu pagi esok.
Keesokkan harinya, awal pagi lagi kami telah tiba di FSKSM. Aku dan Nan menemani Min di luar kelas Akak tahun 3. Kami berharap kes ini diselesai secepat mungkin dan tidak dibawa ke Bahagian HEP. Apabila kelas kuliah tamat, Min segera mencari Akak tahun 3 dan menjumpainya di pintu kelas. Aku dan Nan hanya memandang dari jauh, tidak menemani Min kerana bimbang wujud ketidakselesaan bagi kedua-dua pihak. Min memohon maaf di atas kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Jawapan bagi permohonan maaf Min dijawap dengan sepatah perkataan Inggeris yang mempunyai 4 huruf bermula huruf ‘F’ dan berakhir huruf ‘K’ serta isyarat jari telunjuk. Aku rasa Akak tahun 3 memaafkan Min kerana kes ini tidak pernah dirujuk kepada Bahagian HEP Universiti.