Padang Gagak Berenang |
Aku: Awat hampa jadi lagu ni?
Man Gagak : Berenang. Hang tak dengaq ka Jembek suruh kami berenang tadi. Dah mai tolong angkat besi ni dulu. Nanti baru kita sembang
Semua sahabat-sahabat yang menyembunyikan diri semasa kehadiran warden Jembek keluar untuk membantu Man Gagak dan Sonto mengangkat semula besi penghadang. Semua sahabat yang mandi kolah masih berada di situ kecuali Pulon. Setelah besi penghadang diletak kembali di tempat asalnya, kami berkumpul untuk memahami kejadian sebentar tadi.
Man Gagak: Sonto hang betui punya ghaplah jingga. Yang hang tak lari pasal apa?
Sonto: Tadi masa mandi aku ada bawak masuk baldi dalam kolah. Aku nak buat eksperimen kandungan gas-gas dalam udara. 78% Nitrogen; 20% Oksigen 2% gas-gas lain. Aku berendam dalam air lepas tu aku letakkan baldi atas kepala. Aku bernafas pelan-pelan dalam baldi tu. Aku tengok lama-lama air makin naik mengisi ruang gas oksigen. Betul la sebab aku yang sedut oksigen tu untuk bernafas. Kemudian aku rasa sunyi sepi. Suara hampa semua dah hilang. Aku fikir ini mesti kesan sampingan sebab gas oksigen dalam baldi dah habis. Aku pun buka baldi dari kepala aku. Aku tengok kolah dah kosong. Tinggai aku sorang-sorang. Bila masa hampa keluar dari kolah ni pun aku tak tau. Bila aku kaleh muka ke kanan saja, terus nampak muka Jembek.
Sonto menjelaskan secara panjang lebar sebab musabab dia tidak melarikan diri dari kolah. Rupa-rupanya, kepala Sonto berada di dalam baldi dan badannya di dalam air. Patutlah dia tidak mendengar jeritan Pulon dan tidak melihat kami semua keluar meninggalkan kolah mandi.
Aku: Yang hampa penuh rumput dan tanah satu badan ni pasai apa pulak?
Misteri Gagak Berenang
Man Gagak: Sebab berenang la. Kami berlima berenang.
Jawapan Man Gagak yang pendek tidak memuaskan hati aku dan tidak menjawap soalan. Aku kena ‘memanaskan’ hati Man Gagak, untuk mendapatkan cerita yang sebenar.
Aku : Best la berenang. Syok apa.
Man Gagak: Hang jin betui-betui bagi hati aku terbakar la. Kalau berenang dalam kolah ka dalam ayaq ka syokla. Berenang ataih padang rumput nak mai syok kot mana? Aku debik kang cuma!!!
Barulah aku faham, Man Gagak, Sonto dan 3 sahabat aku yang lain telah dihukum berenang di atas padang oleh Warden Jembek. Padang rumput yang dimaksudkan terletak di antara 2 blok asrama putera dan hanya 10 kaki dari kolah mandi. Bila terbayang mereka berlima berenang di atas padang rumput memang mengelikan hati aku. Hendak ketawa rasa bersalah pula. Melihat muka-muka sahabatku selain mereka berlima, masing-masing seperti menahan ketawa sehinggalah Pulon datang ke arah kami. Pulon berjaya melarikan diri ke biliknya dan menyaksikan kesemua kejadian dari tingkat 3.
Pulon : Woi Man Gagak syok tak berenang? Hang memang tera la. Orang berenang dalam ayaq. Hang pulak berenang atas padang. Ha ha ha!
Kata-kata Pulon membuatkan kami semua ketawa. Man Gagak, Sonto dan 3 sahabat yang dihukum tadi turut ketawa.
Untuk makluman, nama Sonto diambil dari watak Usop Sontorian dan diberi gelaran kepada sahabatku tadi kerana dia suka mempraktik dan mengaplikasi setiap eksperimen-eksperimen makmal di dalam kehidupannya sehari – hari.
No comments:
Post a Comment