Saturday, October 09, 2010

Paipon & Inspektor Kesihatan

Dalam rumah sewa di Palas 12, hanya aku dan Miskam merupakan pelajar Kejuruteraan Komputer. Majoriti yang lain adalah pelajar Kejuruteraan Elektrik sementara Apeman dan Jokar dari Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Kimia.

Pagi Jumaat, kelas kuliah aku dan Miskam bermula pukul 10 pagi. Sementara mereka yang lain telahpun bertolak ke fakulti masing – masing untuk menghadiri kuliah seawal pukul 8.00 pagi. Hanya Paipon tidak ke kelas kuliah kerana keadaannya yang tidak sihat.

Sekitar pukul 9.00 pagi, Paipon keluar untuk ke klinik kesihatan kampus dengan menaik motorsikal RG-Sportnya. Aku dan Miskam bersiap –siap untuk ke kelas. Jarak dari rumah sewa ke kampus hanya mengambil masa 7 minit sahaja. Selang 15 minit kemudian, aku menerima panggilan telefon melalui telefon bimbitku. Panggilan dari Paipon.

Paipon : Assalamualaikum.

Aku: Waalaikumusalam. Hang apa cherita Paipon? Serius ke?

Paipon: Aku dah pi check kat klinik kesihatan. Depa pun tak tau punca penyakit aku. Nanti Inspektor Kesihatan nak mai rumah sewa kita. Depa nak check punca penyakit aku ni. Hampa kemas la apa yang patut.

Aku: Ok. Nanti aku dan Miskam uruskan. ‘

Aku menceritakah panggilan Paipon kepada Miskam. Kami bersetuju untuk bergotong royong membersihkan rumah sewa. Miskam yang lebih ‘ringan tulang’ mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah dan mencuci tandas sementara aku hanya mengemas bilik, menyusun tilam bantal dan menyapu sampah. Bukan mudah kerja membersihkan rumah yang didiami 15 orang penghuni ini. Tambahan pula kerja-kerja ini dilakukan oleh kami berdua.

Kerja-kerja tersebut memakan masa hampir 45 minit. Jam menunjukkan waktu tepat pukul 10 pagi. Niat kami hendak ke kuliah terpaksa dibatalkan kerana telah lewat dan menanti kedatangan Inspektor Kesihatan. Tidak lama kemudian, Paipon pulang ke rumah.

Paipon : Hampa tak pi kelas ka? Bukan hampa ada kelas pukul 10 ka?

Aku: Nak pi kelas macam mana? Kami kalut dok kemas rumah. Ni baru settle ni.

Jelasku kepada Paipon. Aku berasa hairan dengan pertanyaan Paipon. Pada hal dia yang menyuruh kami mengemas rumah.

Miskam: Ha... Mana Inspektor Kesihatan? Dia nak mai bila? Dia tau ka jalan nak mai rumah kita.

Paipon : Alamak. Hampa tak pi kelas pasai kemas rumah ka? Aisey kalau aku cherita kat hampa mesti hampa ‘bara’ kat aku.

Miskam : Cherita la tumpang boleh bercakap.

Paipon : Aku demam sikit ja. Yang pasai Inspektor Kesihatan tu saja aku buat cherita nak pekena hampa. Tapi aku tak sangka pulak yang hampa berdua percaya.Hehehe sori la woi. Miskam !!! Kira kes ‘SignBoard Junjung’ tu seri la dengan kes ‘Inspektor Kesihatan’ ni.

Miskam: Hang betui punya paipon la. Cherita kat sekolah menengah bawak sampai ke U.

Panas hati aku mendengar kata-kata Paipon tetapi apabila mengingatkan kembali cerita ‘Signboard Junjung’ kami bertiga ketawa. Paipon – 1; Miskam – 1.

No comments:

Related Posts with Thumbnails