Wednesday, September 08, 2010

Berkat Penampar Malam Pertama

Apeng (Berdiri No. 2 Dari sebelah Kanan)

Sewaktu menjejakkan kaki buat pertama kalinya di sekolah menengah, aku berasa gayat dan sesak nafas. Aku terpaksa mengaturkan segalanya seawal usia 13 tahun. Terpaksa berdikari menguruskan diri, belajar dan menyesuaikan diri dalam kehidupan sekolah asrama. Pada hari pertama, aku dan para sahabat dikenalkan kepada semua pengawas, dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menjalani minggu orientasi.

Ketika waktu makan malam, selepas habis kami makan, seorang pelajar tingkatan 4 telah meminta tolong sahabat baikku, Apeng (gelaran ni diberikan oleh Guru Sejarah kerana menurutnya sahabatku ini ada iras – iras Chin Peng; pemimpin Parti Komunis Malaya). Maka dijawapnya, “Pi la ambik sendiri”. Jawapan yang sangat jujur dan berterus terang. Sekiranya jawapan ini diberikan di sekolah biasa tentu tidak menjadi masalah, tetapi tidak kepada sekolah asrama yang memang terkenal dengan sistem senioritinya.


Hendak dijadikan cerita, selepas pukul 11.30 malam semasa light off dijalankan beberapa orang sahabatku yang tidak dapat tidur kerana malam pertama berjauhan dengan keluarga masing-masing telah mengeluarkan torch light dan menyuluh ke syiling. Masing-masing menunjukkan gaya kreatif mencorakkan cahaya seperti disko lagaknya.

Perbuatan mereka itu telah mendatangkan kemarahan para pengawas dan seluruh ahli dorm dipanggil turun ke bilik pengawas. Kami diberi penjelasan panjang lebar tentang peraturan sekolah dan sistem senioriti sekolah. Apeng juga turut ditegur tentang kelakuannya di dewan makan. Apeng cuba bergurau bagi meredakan keadaan tetapi gurauannya tidak menjadi malahan menambahkan lagi kemarahan seorang pengawas dan akibatnya Apeng ditampar.

Beliaulah orang pertama dihari pertama menjejak kaki disekolah, dianugerahkan penampar Arab dan hasilnya 5 tahun kemudian Apeng dipilih untuk menjadi Ketua Pengawas membawa gelaran Kapten. Berkat sungguh penampar Arab tu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails