Sunday, September 26, 2010

Was Was

Suara –suara dikalangan Form 2 mula kedengaran apabila keengganan kami menyambung ‘kontrak sosial’ mendatangkan kemarahan pelajar senior. Bukan sahaja kami terpaksa menerima hukuman malahan kami juga dipaksa juga melakukan semua kerja-kerja yang sepatutnya dibuat oleh pelajar-pelajar junior.

Ada yang berpendapat lebih baik ‘kontrak sosial’ disambung semula daripada terpaksa berdepan dengan hukuman pelajar senior kemudian dipaksa kerja-kerja yang terkandung dalam ‘kontrak sosial’. Suara – suara ini perlu didengar dan dipujuk. ‘Kontrak sosial’ tidak akan disambung. Ini merupakan keputusan sebulat suara oleh seluruh Form 2. Kaedah lain perlu dicari untuk menyelesaikan masalah ini sama ada secara berdepan mahupun secara tersembunyi.

Secara terang-terangan ataupun tersirat tindakan perlu diambil agar kesatuan dan perpaduan di antara Form 2 tidak terjejas. Setelah difikirkan bersama beberapa tindakan telah dipersetujui untuk di ambil oleh semua pelajar Form 2. Antaranya:


1) Kempen Tahun Depan Tiada Lagi – pelajar –pelajar junior di tingkatan 1 akan diingatkan bahawa abang-abang angkat mereka sekarang berada ditingkatan 5. Apabila abang – abang angkat mereka meninggalkan sekolah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti, pelajar junior ini akan berdepan dengan batch Form 2. Segala hukuman yang kami terima dari abang-abang angkat mereka akan dibalas. Langkah ini diharap akan mengurangkan aduan pelajar-pelajar junior kepada abang-abang angkat mereka. Jika berjaya, apabila ‘kontrak sosial’ diterima dari pelajar senior, batch Form 2 akan meminta pelajar-pelajar junior melaksanakannya secara sembunyi dan diam-diam.


2) Kaedah Psikologi – Beberapa langkah akan diambil untuk menimbulkan perasaan was –was di kalangan pelajar senior seterusnya membuatkan pelajar batch Form 2 bukan lagi pilihan untuk melakukan ‘kontrak sosial’ terutamanya kerja-kerja melibatkan pembelian minuman dan makanan di kantin sekolah dan membawa naik makanan dan minuman dari dewan makan. Perasaan was – was ini akan dimanipulasi oleh batch Form 2 terutamanya dari segi kebersihan makanan dan minuman. Khabar angin akan disebarkan bahawa makanan dan minuman yang dibawa oleh kami telah dicampur dengan bahan-bahan yang tidak bersih. Walaupun tindakan ini hanya sebagai kaedah perang saraf, tetapi ada sebahagian para pelajar Form 2 mengambil tindakan lebih dari menyebarkan khabar angin iaitu menjadikan khabar angin sebagai realiti.


3) Menongkah Arus- Bagi pelajar Form 2 yang berani, tindakan penentangan secara terbuka akan diteruskan tanpa mengambil peduli sebarang hukuman dari pelajar senior. Langkah ini diharap dapat membuka mata pelajar junior bahawa sekiranya pelajar – pelajar Form 2 berani berdepan pelajar senior sudah pasti mereka berani berdepan dengan pelajar junior apabila abang-abang angkat tiada lagi di sekolah ini.

Perlahan-lahan ketiga-tiga langkah ini berjaya dan memberi kesan yang diharapkan. Sedar atau tidak, kami telah menurunkan ‘kontrak sosial’ kepada pelajar-pelajar junior. Kesatuan dan perpaduan di antara kami bukan sahaja menguatkan batch Form 2 tetapi menyediakan suatu tapak yang kukuh untuk Semangat Form 2 terus berkembang bagi menghadapi sebarang rintangan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails