Monday, September 20, 2010

CD Blank

Ketika berada di tahun ketiga pengajian di IPTA seorang sahabatku, CD menjemput aku dan sahabat – sahabat menghadiri majlis perkahwinannya di Bachok, Kelantan. Bakal isteri CD ini bukan sahaja merupakan seorang mahasiswi di IPTA yang sama dengannya malahan tinggal sekampung. Nama pasangannya bermula dengan Siti, maka CD dipanggil CDCT sementara pasangannya CTCD.


Setelah berbincang dengan sahabat-sahabat yang ingin menghadiri majlis perkahwinan CDCT, kami bersetuju untuk pergi dengan menaiki van sewa. Perjalanan dari Skudai, Johor ke Bachok, Kelantan terasa singkat kerana diwarnai pelbagai cerita dan celoteh bak kata orang ‘Banyak Orang Banyak Ragam’.

Setelah bersantap dan meraikan kedua-dua mempelai kami bertolak pulang ke Skudai semula. Tidak banyak yang dapat dibualkan dengan CD kerana beliau sibuk melayan tetamu. Kami menunggu beliau pulang semula ke IPTA untuk menanyakan perihal akad nikahnya,

Sekembalinya CD ke IPTA, beliau terus datang ke rumah sewa kami. Inilah peluang yang ditunggu untuk berkongsi pengalamannya bersama kami. Maka berceritalah CD perihal majlis akad nikahnya. Sebulan sebelum majlis pernikahannya dilangsungkan, CTCD selalu menasihatkan CD untuk menghafal lafaz akad nikah. Nasihat bakal isterinya bukan saja tidak diendahkan malahan sering dipermainkan oleh CD.

Majlis akad nikah di adakan pada hari yang sama dengan hari kenduri pengantin perempuan. Ketika berada di hadapan Tuan Qadhi CD begitu yakin yang beliau akan dapat menyambut akad nikah dengan 1 lafaz sahaja. Majlis bermula dengan soalan-soalan asas dan semua soalan dari Tuan Qadhi dapat dijawap dengan baik oleh CD.

Maka saat yang ditunggu pun bermula. Tuan Qadhi mengenggam tapak tangan CD sambil melafazkan akad nikah. Maka dengan yakinnya CD terus menyambut lafaz Tuan Qadhi dengan lafaz

‘Aku terima nikahnya....’.. Lafaznya terhenti di situ dan mindanya menjadi kosong atau blank. Peluh mula membasahi dahi CD dan suasana terasa panas.

Setelah diminta beristifar dan menenangkan diri, Tuan Qadhi mengulangi semula akad nikah kepada CD. Sekali lagi perkara yang sama berulang. Suasana mulai tegang kerana bimbang majlis akad nikah gagal dilaksanakan tambahan pula ia dibuat pada hari kenduri.

Bapa CTCD (bakal bapa mertua CD) yang berada dibelakang CD mula mengurut-urut belakang CD. Bakal mertuanya meminta CD tenang dan memperbanyakkan istifar. Tuan Qadhi mengulangi lafaz akad nikah untuk kali ke tiga tetapi minda CD masih blank.

Suasana semakin panas dan ada cadangan dari pihak – pihak tertentu agar lafaz akad nikah ditulis kemudian dibaca oleh CD. CD yang kembali dapat menguasai diri dengan kata-kata semangat dari bakal bapa mertuanya meminta Tuan Qadhi mengulangi lafaz akad nikah sekali lagi. Mindanya yang blank dapat dipulihkan.

Tuan Qadhi mengulangi lafaz akad nikah untuk kali keempat dan dengan izin Allah, CD dapat menyambutnya dengan pantas dan jelas dengan pengesahan 2 orang saksi maka rasmilah CD bergelar suami.

Berpesanlah CD kepada kami yang sedang bergelak ketawa, “ Mu jangan buat memain bab akad nikah ni. Aku kena dah. Otak blank. Tak terbit kat mulut. Tobat weii’” . Kata-katanya membuatkan gelak ketawa kami terhenti buat seketika sebelum disambung kembali

No comments:

Related Posts with Thumbnails