Wednesday, September 15, 2010

'Kontrak Sosial' Anak Tiri


Sistem adik angkat dan abang angkat / kakak angkat memang telah diamalkan disekolahku. Pentadbiran sekolah telah mengaturkan setiap pelajar lelaki tingkatan 1 akan memperolehi seorang abang angkat dari kalangan pelajar tingkatan 4 sementara pelajar perempuan mendapat kakak angkat. Abang angkat / kakak angkat akan membantu pelajar-pelajar tingkatan 1 untuk menyesuaikan diri dengan suasana, persekitaran dan peraturan sekolah berasrama. Seterusnya melatih adik-adik angkat untuk berdikari.

Sistem ini merupakan serampang 3 mata yang boleh membantu pelajar baru menyesuaikan diri, menerap perasaan hormat disamping mengurangkan kejadian ‘ragging’ oleh pelajar senior.

Namun sistem ini tidak dilaksanakan untuk batch aku dan para sahabat. Alasan yang diberikan terdapat masalah teknikal dan kelewatan untuk melaksanakan sistem adik angkat / abang angkat / kakak angkat. Berbeza dengan pelajar-pelajar ditingkatan 2, mereka telah diberi abang angkat / kakak angkat sewaktu di tingkatan 1. Abang angkat dan kakak angkat mereka kini merupakan pelajar-pelajar tingkatan 5 yang sedang memegang tampuk kekuasaan sekolah.

Ketiadaan sistem ini membuatkan batch kami terpaksa menerima ‘kontrak sosial’ dari pelajar-pelajar yang lebih senior. Memandangkan batch kami merupakan batch yang paling junior ditambah tiada sistem adik angkat /abang angkat, semua kerja –kerja seperti membasuh baju, seterika baju, mengambil makanan dan minuman, membeli peralatan di koperasi dan lain-lain lagi terpaksa dibuat tanpa banyak soal dan tidak boleh dibantah.

Sesiapa yang berani menyoal atau membantah dikira tidak menghormati sistem ‘senioriti’ dan boleh diambil tindakan bersesuaian. (pada zaman itu tindakan ini tidak diklafikasikan sebagai ‘ragging’). Maka kami pelajar-pelajar lelaki seramai lebih kurang 70 orang terpaksa bersabar melayan kerenah pelajar tingkatan 2 hingga 5 dan juga pelajar matriks untuk tempoh setahun. Kata-kata pengubat hati dari para senior bahawa tahun depan apabila kami berada ditingkatan 2, ‘kontrak sosial’ ini akan diambil alih oleh pelajar-pelajar tingkatan 1 yang baru mendaftar masuk.

Sekali lagi malang menimpa apabila kami berada ditingkatan 2, pihak sekolah telah melaksanakan semula sistem adik angkat/ abang angkat/ kakak angkat. Para pelajar tingkatan 1 yang baru memasuki sekolah diberikan abang angkat dan kakak angkat dari pelajar tingkatan 5. Tindakan sekolah ini mengakibatkan pelajar tingkatan 3,4 dan matrikulasi tidak berani menurunkan ‘kontrak sosial’ kepada pelajar-pelajar tingkatan 1. Sebaliknya, batch aku dipertanggungjawapkan untuk menguruskan ‘kontrak sosial’ bagi tempoh setahun lagi.

Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati dari kalangan batch kami yang berada tingkatan 2 (Form 2). Ramai yang menyalahkan sekolah dan secara terang-terangan menganggap batch kami telah dianaktirikan. Tempoh setahun lagi untuk memikul ‘kontrak sosial’ tidak boleh diterima oleh kesemua sahabat-sahabatku. Perjumpaan dibuat untuk mengumpulkan seluruh pelajar lelaki tingkatan 2 bagi menyelesaikan masalah ini.

Persetujuan dibuat sebulat suara dan bersetuju yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. 'Kontrak sosial’ tidak akan disambung. Kami bersatu di atas nama batch ‘ Form 2’, mencedok dari semangat Assabiyyah Arab Jahilliyah. Kami bersatu di atas nama batch dan bukannya di atas nama kebenaran. Jika peha seorang pelajar Form 2 dicubit, seluruh peha pelajar -pelajar Form 2 turut terasa. Setiap tindakan akan mengakibatkan tindak balas.

All for One & One for All

HIDUP FORM 2 !!!

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa aku dan sahabat-sahabat yang mendukung dan menyokong fahaman assabiyyah Form 2. Jauhkanlah semangat assabiyah dari bertapak kembali di hati kami. Amin

No comments:

Related Posts with Thumbnails