Monday, September 13, 2010

Kupang & Duit

Sama Nama Beza Rupa

Sukar untuk melelapkan mata walau malam telahpun larut. Melihat wajah isteri tercinta menginggatkan kembali peristiwa yang berlaku selepas waktu Asar pada hari Rabu, 2 Jun 2004.

Bersama kedua-dua orang kakakku, abang-abang ipar, emak-emak saudara. Sepupu sepapat, jiran-jiran dan rakan taulan kami ke sebuah surau bagi menepati janji yang telah dibuat. Setibanya di sana terdapat sekumpulan manusia sedang menunggu kedatangan kami.
Aku yang berpakaian serba putih tampil ke hadapan untuk bersemuka dengan mereka. Aku duduk di hadapan orang yang dipertanggungjawab sambil menghulurkan kad pengenalan diri, surat-surat berkaitan dan sebuah album gambar.

Setelah berpuas hati, beliau tanpa banyak soal terus mengenggam tapak tangan kananku sambil berkata, “Aku nikahkan akan dikau dengan Roslina binti Abdullah berwalikan hakim dengan mas kahwin Lima Ratus Lima Puluh Lima Ringgit Lima Kupang Lima Duit Tunai”.

Aku berada dalam keadaan dilema. Sama ada hendak mengikut kata-kata Tuan Qadhi tadi atau menggunakan ayat-ayat yang telah kuhafal. Aku mengambil keputusan untuk menggunakan ayat-ayat yang telah dihafal dan dilafaz berulang kali selama lebih satu bulan.

‘Aku terima nikahnya Roslina binti Abdullah dengan mas kahwin Lima Ratus Lima Puluh Lima Ringgit Lima Puluh Lima Sen Tunai’.

Serentak dengan itu kedua-dua orang saksi menyambut akadku dengan perkataan ‘Sah’. Lega rasa hati, bimbang juga kalau-kalau Tuan Qadhi mengulangi semula akad nikah kerana aku tidak menggunakan perkataan ‘kupang’ dan “duit’ sebaliknya menggunakan perkataan ‘puluh’ dan ‘sen”.

Sebenarnya aku lebih selesa menggunakan perkataan ‘kupang’ dan ‘duit’ kerana aku ini orang utara. Memandangkan majlis akan diadakan di kawasan Perak Utara, keputusan dibuat untuk mengguna dan menghafal lafaz akad nikad dalam bahasa Melayu rasmi.

No comments:

Related Posts with Thumbnails