Friday, September 17, 2010

Tahun Langkau

Semasa berada di tingkatan 3, seorang guru merangkap warden sekolah meluahkan kemarahannya kepada seluruh pelajar tingkatan 3. Menurut guru tersebut, kamilah batch yang paling teruk dalam sejarah, sepanjang perkhidmatannya selama 14 tahun di sekolah ini. Atau dalam ayatnya sendiri ‘

“Kamulah batch yang paling teruk pernah saya jumpa dalam tempoh 14 tahun saya berkhidmat di sekolah ini,”.

Tidak dapat dipastikan sama ada kata-katanya bertujuan merangsang kami untuk berubah atau mengaibkan kami. Disebabkan kenyataannya di buat ketika waktu perhimpunan di dewan besar di hadapan seluruh pelajar sekolah dan para guru menggunakan sistem pembesar suara.

Seperti biasa, kami yang menerima kedudukan kami sebagai anak tiri sekolah disebabkan layanan pihak pentadbiran yang ‘double standard’, mengalu- alukan kenyataan beliau. Sekurang-kuirangnya kenyataan beliau memberi pengiktirafan kepada batch sebagai unik dan hanya boleh dijumpai 1 dalam tempoh 14 tahun.

Malahan kata-katanya menjadi bahan lawak jenaka kepada kami. Ayat-ayat seperti :

“Sepanjang 14 tahun tak pernah aku jumpa orang segemuk hang,”

“Sepanjang 14 tahun tak pernah aku jumpa kepala besar macam hang,”

“Sepanjang 14 tahun tak pernah aku jumpa hidung kembang macam hang,”

“Sepanjang 14 tahun tak pernah aku jumpa telingga capang macam hang,”

sering kedengaran dan mengundang gelak tawa kami walaupun ketika itu kami hanya berumur 15 tahun.

Pelik tapi benar. Setahun kemudian ketika kami di tingkatan 4, beliau sekali lagi mengulangi kata-katanya dengan sedikit perbedaan,

“Kamulah batch yang paling teruk pernah saya jumpa dalam tempoh 16 tahun saya berkhidmat di sekolah ini,”

Kami berpandangan sesama sendiri di dalam dewan besar sekolah. Seorang sahabatku berkata,

“Aik!!! Tahun lepas kata 14 tahun, tahun ni dah jadi 16 tahun? Tahun lompat kot?,”

Tidak kisahlah tahun lompat atau tahun langkau sekalipun tetapi kalau hendak menipu tu berpada –padalah. Kami tahu kami tidaklah sepandai mana tetapi tidaklah bodoh sampai tahap tu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails