Pada tahun 2002, sekitar pukul 2 petang, aku menunggang motorsikal ke rumah kakakku di Sungai Bakap. Perjalanan ke rumahnya akan melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan sekatan pemeriksaan polis sering di buat di situ . Kerjayaku sebagai ‘pemetik anggur’ sepenuh masa pada ketika itu sememangnya tidak membataskan pergerakkan dan perjalanan.
Dari jauh telahpun kelihatan beberapa orang anggota Polis sedang mengadakan sekatan. Memikirkan keadaan motosikal yang standard, lesen memandu dan cukai jalan baharu diperbaharui, aku berhenti di hadapan anggota-anggota Polis dengan senyuman.
Anggota Polis: Mintak IC Encik?
Aku: IC? (aku mengeluarkan kad pengenalan dan menghulurkannya kepada anggota Polis berkenaan).
Anggota Polis: Encik tolak motor masuk ke dalam balai.
Hati ini mula gelisah. Otak mula memikirkan punca dan sebab. Kad pengenalan yang diambilnya sedangkan lesen memandu dan cukai jalan langsung tidak diambil peduli. Mustahil disebabkan motorsikal kerana tiada sebarang pengubahsuaian yang dibuat. Aku menolak masuk motor ke dalam IPD seperti yang diarahkan. Anggota PDRM di pondok pengawal meminta aku meletakkan motorsikal di tempat meletak kenderaan sebelum mengarahkan ke tingkat 2.
Aku melangkah ke tingkat 2 dengan perasan bercampur-campur. Sesampainya di sana terdapat hampir 9 orang pemuda lelaki yang sebaya denganku. Muka masing – masing gelisah dan penuh tanda tanya. Rupa-rupanya mereka juga senasib denganku. Seorang anggota Polis berpangkat Sarjan mengarahkan kami semua mengikutinya. Kami dibawa ke sebuah bilik mesyuarat.
“Pihak boleh memerlukan bantuan saudara semua untuk membantu kami dalam satu kes rogol,” beritahu anggota Polis berpangkat sarjan tadi.
“Tuan-tuan sila berbaris dalam 1 barisan. Kami akan membawa masuk 2 orang suspek dalam kes ini. Mereka berdua akan diberi pilihan untuk memilih tempat di antara tuan-tuan sebelum mangsa dan seorang saksi dibawa untuk tujuan pengecaman,” terang beliau lagi dengan panjang lebar.
Maka suspek pertama di bawa masuk. Suspek tersebut memilih untuk berdiri disebelahku. Suspek ini berusia sebaya dengan kami semua malahan ketinggian dan bentuk badan lebih kurang sama. Mangsa kes di bawa masuk., seorang perempuan berusia awal 20an. Bagi mata aku ini paras rupa si mangsa ini biasa-biasa saja, tidak tahulah sebabnya suspek memilih perempuan ini sebagai mangsa.
Kami semua diarahkan untuk berbaris sambil mata memandang tepat ke hadapan. Tiada seorang pun dibenarkan menunduk muka. Anggota Polis meminta si mangsa berjalan di hadapan kami, memerhati wajah-wajah kami seorang demi seorang dan memegang bahu lelaki yang bertanggungjawap.
Meleset sekali tanggapan aku kerana memikirkan yang kami semua akan ditempatkan di dalam bilik yang mempunyai cermin seperti cerita –cerita polis CSI, NCIS dan sebagainya. Berjalanlah perlahan si mangsa di hadapan kami semua sehinggalah sampai ke tempat suspek tadi berdiri. Hanya dengan sekali pandang, si mangsa tadi terus memegang bahu suspek pertama. Si mangsa di bawa keluar untuk memberi peluang saksi membuat pengecaman,
Suspek pertama tadi diarahkan untuk menukar tempat mengikut pilihannya. Suspek memilih untuk berdiri di hujung barisan. Setelah selesai suspek mengambil tempat, saksi di bawa masuk ke dalam bilik. Saksi merupakan seorang perempuan di awal 20an dan rupa parasnya sangat cantik. Sekali lagi suspek pertama tadi telah dicam oleh saksi dan apabila saksi di bawa keluar, seorang anggota Polis mengari suspek pertama membawanya ke bilik lain.
Suspek kedua di bawa masuk dan proses yang sama diulang. Walau bagaimanapun, si mangsa mahupun saksi gagal mengecam suspek kedua. Setelah selesai proses pengecaman, pihak Polis mengucapkan terima kasih di atas kerjasama kami.
Semasa hendak turun dari tingkat 2 ke tempat meletak kenderaan, seorang dari kami berkata,
“ Suspek pertama tadi salah orang la. Kalau hampa tanya aku, aku ‘ambik’ yang jadi saksi tu"
No comments:
Post a Comment