Monday, September 13, 2010

Cari Nama


Ketika isteri tercinta sarat mengandung anak pertama, kami telah bersetuju tentang kaedah penamaan anak-anak. Anak lelaki namanya didahului dengan nama Muhammad sempena nama Rasullullah SAW dan jika anak perempuan dimulai dengan nama Nur, yang bererti cahaya.

Nama kedua, ketiga pula sempena namaku dan isteri tercinta.Nama isteri tercinta bermula huruf ‘R’ dan nama keduaku bermula huruf ‘H’. Dengan itu, nama kedua anak lelaki akan dimulai huruf ‘R’ barulah diikuti dengan nama ketiga bermula huruf ‘H”. Simbolik ketaatan anak lelaki kepada ibu selagi hayatnya dikandung badan. Sementara nama kedua anak perempuan bermula huruf ‘H’ menandakan ketaatan si isteri kepada suaminya selepas berumahtangga.

Kami telah memilih nama Muhammad Razin Hakim untuk anak sulong kerana yakin akan dikurniakan seorang putera. Makna nama-nama itu adalah Muhammad ; Yang Banyak Dipuji, Razin ; Yang Tenang, Yang Sopan, dan Hakim; Yang Bijaksana.

Namun takdir Allah SWT telah menentukan bahawa kami memperolehi seorang puteri. Kami redha dan bersyukur dengan ketentuan Ilahi serta menamakan puteri kami Nur Hanisah Radhiah. Nur; Cahaya, Hanisah : Yang Bertakwa dan Radhiah; Yang Redha, seperti mana kami redha dengan cahaya mata kurniaan Allah ini.

Yang menariknya, satu tahun setengah kemudian, kami berpeluang menggunakan nama-nama itu semula apabila Allah swt mengurniakan seorang lagi cahaya mata daripada kaum Adam AS.

No comments:

Related Posts with Thumbnails