Sunday, September 12, 2010

Kemetod???


Puas aku mendengar khutbah Aidilfitri 1431H tadi. Isinya memberi penekanan kepada tanggungjawab ahli qaryah dan masyarakat setempat untuk mengimarahkan masjid.

Di bulan Ramadhan ramai yang datang ke masjid pada malam hari untuk bersolat terawih dalam keadaannya siang berlapar, letih dan dahaga. Selepas Ramadhan tentunya lebih mudah untuk mengimarahkan masjid kerana kita tidak lagi berpuasa. Tapi malangnya selepas Ramadhan makin ramai ahli qaryah yang culas dan menjauhkan diri dari masjid. Menimbulkan tanda tanya sama ada kita Hamba Ramadhan atau kita ini Hamba Allah.
.
Isu ini bersifat setempat dan sememangnya perlu memandangkan itulah masalah yang dihadapi oleh ahli qaryah masjid berkenaan. Isu yang perlu ditangani segera dan bersama oleh masyarakat Islam setempat.

Aku teringat ketika mendengar khutbah Jumaat di satu masjid yang ahli qaryahnya terdiri dari orang kampung, nelayan, penjawat awam, pekerja kilang dan bekerja sendiri (mengutip atap nipah dan sebagainya). Tuan khatib membaca teks khutbah bertajuk ‘Makanlah Buah-Buahan Tempatan’.

Minda ini berfikir sama ada ahli-ahli qaryah di kawasan ini menggunakan buahan-buahan import dalam menu mereka. Kedudukan masjid tersebut hanyalah 1.5 km dari rumah ibu dan abahku. Walaupun kami bukanlah termasuk dalam qaryah masjid berkenaan tetapi keadaan kampung kami tiada bezanya dengan kampung mereka.

Sememangnya diet kebanyakkan dari kami adalah buah-buahan tempatan terdiri daripada buah pisang, manggis, rambutan, durian dan lain-lain. Hanya sekali sekala, (itupun boleh dikira dengan jari) kami menikmati buahan import seperti buah anggur dan kurma.

Kaitan khutbah dengan masyarakat setempat, pada pendapatku sangat tidak relevan. Yang lebih menarik dalam khutbah tersebut, tuan khatib memaklumkan bahawa pihak kerajaan begitu kemetod dalam mempromosikan buah-buahan tempatan.

Kemetod? Memang selalu aku menggunakan perkataan ‘kemetod’. Perkataan yang tidak janggal bagi orang utara. Kemetod membawa erti pendek. Sahabatku di sekolah menengah digelar Mat Tod kerana saiz badannya yang rendah sewaktu di tingkatan satu. Perkataan ‘Tod’ diambil dari perkataan ‘ Kemetod’.

Walau bagaimanapun penggunaan perkataan ‘Kemetod’ oleh tuan khatib tadi amat janggal dan tidak memberikan makna pada ayat yang dibaca. Setelah diselidik didapati tuan khatib tersalah sebut. Perkataan ‘Kemetod’ disebut tetapi yang tertulis dalam teks khutbah adalah ‘Komited’

No comments:

Related Posts with Thumbnails