Saturday, September 25, 2010

Tiada Hantu

Selama 5 tahun menghuni asrama sekolah tidak pernah sekalipun aku dan para sahabat setingkatan mengalami atau melihat hantu. Memandangkan kawasan sekolah amat luas dan sekolah tersebut telah lama dibina pada tahun 1974, pelbagai cerita hantu yang kami dengar dari pelajar-pelajar senior, bekas-bekas pelajar (alumni), pengawal-pengawal keselamatan, para warden, guru dan Tuan –Tuan Ustaz.

Keadaan ini menimbulkan perasaan hairan dikalangan kami. Tambahan pula kami sering terlibat dengan aktiviti – aktiviti Ko-Q tambahan di sebelah malam sekitar pukul 12 malam hingga 3 pagi. Aktiviti-aktiviti tambahan termasuklah memecah masuk dan memasak di dewan makan, aktiviti camping di kawasan hutan simpan sekolah, aktiviti ‘sneak out’ dan juga aktiviti mencari hantu. Bukan setahun dua kami terlibat dengan aktiviti Ko-Q tambahan ini tetapi hampir 4 tahun. Malahan sekiranya ada pelajar junior yang memaklumkan bahawa mereka ada terlihat hantu, lembaga atau apa saja makhluk para normal, kami akan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat dengan mata kami sendiri. Sayangnya usaha kami sering menemui kegagalan.

Bagi mencari punca bagi masalah ini, kami merujuk kepada guru kelas kami yang juga merupakan seorang warden sekolah dan seorang Tuan Ustaz. Beliau mempunyai pengalaman merawat pelajar-pelajar perempuan yang diserang histeria. Berceritalah panjang lebar tentang pengalaman kami selama 5 tahun di sekolah ini tetapi tiada seorang pun dari batch 91-95 yang pernah melihat kelibat hantu. Tuan Ustaz terdiam sebentar seolah olah memikirkan sesuatu. Kami menunggu dengar sabar dan berharap mendapat penjelasan yang dapat memuaskan hati kami semua.

“Kawan yang baik tidak akan mengganggu kawannya yang lain”.

Kami sekelas memandang antara satu sama lain, tidak mudah bagi kami yang berada ditingkatan 5 untuk memahami kata-kata beliau yang memang terkenal kerana ketinggian ilmunya. Sekali lagi kami meminta penjelasan dengan bahasa yang lebih mudah kami fahami. Maka berkatalah Tuan Ustaz dengan bahasa yang mudah kami fahami,

“Hantu tu tak pernah kacau hampa semua sebab perangai hampa semua pun macam hantu. Sama naik ja, buat apa dia nak kacau. Dia kacau orang yang baik-baik saja. Hampa ni kira best friends hantu la”.

Kata-katanya disambut gelak ketawa kami sekelas. Hantu betul Tuan Ustaz ni. Kami tanya sungguh-sungguh dia buat lawak pula, tetapi bagaimana sekiranya tutur kata Tuan Ustaz betul dan benar.

No comments:

Related Posts with Thumbnails