Monday, September 27, 2010

Paling Jauh

Suka aku memetik kata-kata Imam Al l Ghazali, “Apakah benda yang paling jauh?”. Jawapan Imam Al – Ghazali “Masa yang lepas”. Menurut beliau masa yang lepas tidak boleh dikembalikan. Untuk kita kembali ke masa lepas adalah sesuatu yang mustahil.

Hati ini mula berdetik dengan soalan ‘Destinasi manakah yang paling jauh?’.

Adakah bulan destinasi kita yang terjauh memandangkan sudah ada manusia yang menjejaki kaki di bulan pada tahun 1969? Ataupun Sidratul Muntaha destinasi terjauh bagi manusia kerana Nabi Muhammad SAW telahpun sampai di sana.

Jawapan dari Tuan Ustaz merungkaikan segala persoalan. Menurut Tuan Ustaz, destinasi yang paling jauh adalah tempat yang memakan masa yang lama untuk kita sampai ke sana.

Sebagai contoh, jika aku menetap di Pulau Pinang dan selalu berulang alik ke Kuala Lumpur setiap minggu tetapi hanya pergi ke surau di hadapan rumahku sekali sebulan. Maka destinasi yang paling jauh adalah surau di hadapan rumahku berbanding Kuala Lumpur. Ini kerana perjalanan ke Kuala Lumpur memakan masa seminggu sedangkan perjalanan ke surau yang terletak beberapa meter di hadapan rumah memakan masa sebulan.

Ada orang destinasinya yang paling jauh adalah surau-surau dan masjid-masjid. Perjalanan mereka ke sana memakan masa seminggu, ada yang 3 minggu, ada yang 6 bulan malahan ada yang memakan masa sekali dalam sepanjang hayatnya. Itupun diusung orang ramai kerana hayatnya tidak lagi dikandung badan.

Ada orang destinasinya yang paling jauh adalah rumah ibu bapanya. Kota Paris dan Kota London boleh dijejaki setiap bulan tetapi ke rumah ibu bapanya menunggu kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Ada orang yang paling malang antara semua, destinasinya yang paling jauh adalah tikar sembahyang/ sejadah. Walau pun tikar sembahyang/ sejadah terletak di bilik sebelah, dalam almari mahupun dihujung kaki. Tidak terbit dihati keinginan untuk solat memohon keredhaan Ilahi. Bunyi seperti mustahil tetapi itulah realiti.

No comments:

Related Posts with Thumbnails