Aku bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan Islam sebagai agamaku. Agama yang lengkap lagi sempurna, universal dan sesuai sepanjang zaman. Agama yang mengatur tatacara kehidupan manusia semenjak seseorang manusia belum dilahirkan (berkaitan pemilihan suami dan isteri yang baik sebelum mereka bergelar ibu bapa), manusia dikandung, dilahirkan, dibesarkan, mati dan sehinggalah ke alam barzarkh (berkaitan amalan yang boleh dilakukan oleh anak / waris kepada manusia yang meninggal).
Aku amat bersyukur kerana Allah SWT menjadikan Islam agamaku, agama yang sesuai dengan fitrah manusia.
Aku sebagai manusia berhendak untuk meminta, berlindung dengan suatu kuasa yang lebih tinggi dari diriku sendiri -Tauhid.
Aku sebagai manusia memerlukan suatu undang-undang yang melindungi jiwa, harta benda, akal dan sebagainya dari anasir-anasir yang merosak dan menghancurkan – Jinayat.
Aku sebagai manusia memerlukan suatu undang-undang untuk memelihara kasih sayang sesama manusia dan nasab keturunan – Munakahat.
Aku sebagai manusia memerlukan suatu undang-undang untuk melindungi urusan harianku daripada ditipu, diperdaya, dimanipulasi dan sebagainya – Muamalat.
Semua yang aku perlukan terkandung dalam ajaran agama Islam. Alangkah indahnya kalau semua ajaran Islam yang mulia ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharianku. Semoga Allah SWT membuka jalan kepadanya dan memudahkan urusan dunia mahupun akhirat. Amin.
No comments:
Post a Comment