Kisah ini terjadi ketika anakku Hakim berumur 1 tahun. Berbeza dengan kakaknya Hanisah, dia telah boleh berjalan ketika berumur 9 bulan. Sedangkan Hanisah mula berjalan ketika berumur 1 tahun 1 bulan.
Sudah menjadi kebiasaan pada hari cuti, aku dan isteri tercinta akan membawa anak-anak kami ke taman permainan. Di taman permainan, anak-anakku bebas berlari, memanjat, bermain sepuas hati berbeza dengan keadaan di rumah yang agak sempit serta menghadkan pergerakkan mereka. Aktiviti ini dapat merangsang fizikal tubuh dan minda anak-anak. Sekaligus mengwujudkan masa berkualiti seisi keluarga. Semestinya ibu bapa akan turut gembira melihat tingkah laku anak – anak ketika berada di taman permainan.
Setelah mereka puas bermain, kami bertolak pulang ke rumah. Aku yang keletihan melayan mereka bermain-main sebentar tadi, melabuhkan badan di sofa. Tidak lama kemudian aku terlelap dibuai mimpi. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara Hanisah. Dia mengerak-gerakkan badan ku sambil berkata
“Abah ! Hakim berak,” lantas aku menjawab, “Hanisah tolong bagitau Ibu. Minta Ibu tolong basuhkan,”
Isteriku sedang menyidai kain baju di luar dan aku yang keletihan terus menyambung tidur. Tiba-tiba aku merasakan sesuatu menyentuh muka. Bila mata dibuka, jari-jari Hakim berlegar-legar di seluruh mukaku. Serentak dengan itu juga, aku terbau bau-bauan yang kurang menyenangkan. Aku mencapai tangan Hakim dan alangkah terkejutnya apabila melihat najis dijarinya. Bukan itu sahaja malahan seluruh mukaku dipenuhi najis hasil contengan jari-jari kecil Hakim.
Tanpa berlengah lagi, aku terus berlari ke tandas untuk mencuci muka. Isteri tercinta yang baru selesai menyidai kain, masuk ke dalam rumah dan tertawa melihat keadaanku.
“Tu la orang buat kerja dia pi tidoq. Bukan nak tolong. Kan dah dapat ‘habuan’ tu,” katanya sambil terus ketawa.
Isteriku membawa Hakim ke tandas untuk dibersih dan dimandikan. Aku masih memegang muka dan terasa seolah-olah masih ada hasil contengan Hakim walaupun aku telah mencuci muka menggunakan sabun.
Tajuk posting ini ‘ Menconteng Arang’ kerana aku tidak sanggup untuk mengantikan perkataan ‘Arang’ dengan ‘Najis’. Terasa bila kedua-dua perkataan itu disatukan maka bekas contengan di mukaku ini timbul kembali. Peristiwa yang berlaku 3 tahun lepas tetapi masih segar di ingatan dan dihidungku.
No comments:
Post a Comment